Sultan Kedah dukacita, penyatuan umat membimbangkan

Sultan Sallehuddin memeriksa barisan kehormatan sebelum majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman hari ini.
Sultan Sallehuddin memeriksa barisan kehormatan sebelum majlis perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah penyatuan umat yang sekian lama mewujudkan suasana harmoni di negara ini, kini berada dalam keadaan membimbangkan.

Baginda bertitah, keadaan itu berpunca daripada pelbagai faktor seiring arus globalisasi dan dunia moden masa kini, termasuk penggunaan media sosial secara tidak berhemah yang meretakkan silaturahim dan menimbulkan prasangka yang sering berakhir dengan pertelingkahan.

“Akibat prasangka ini, pernah disuarakan Ibnu Khaldun sebagai punca keruntuhan ketamadunan manusia.

"Oleh itu, pemimpin harus bijak membimbing rakyat bagi mengelak sikap sangsi, bersangka buruk yang mengakibatkan pergeseran dan perpecahan,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman hari ini.

Turut berkenan berangkat sama, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sultan Sallehuddin bertitah, pada masa sama tindakan perlu diambil untuk memastikan fahaman ekstrem dibendung dari awal supaya Kedah kekal aman makmur.

“Kerukunan hidup, aman damai dalam masyarakat mesti dipertahankan. Sesuatu bangsa maju bukan kerana memiliki sumber alam semata-mata, sebaliknya kerana memiliki sumber manusia yang memanfaatkan akal dan pemikiran,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin mahu langkah pemantauan lebih ketat dilaksanakan bagi memastikan kilang dalam zon industri mematuhi piawaian ditetapkan dan bersifat mesra alam untuk menjamin kelestarian alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, dalam mengejar kemajuan, alam sekitar tidak boleh diabaikan dan bumi mesti dijaga sebaik mungkin supaya kualiti persekitaran yang baik dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat.

“Kesan buruk akibat pencemaran dan insiden bencana kimia, mesti dielakkan. Beta amat prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat negeri Kedah,” titah baginda.

Baginda berharap langkah pengukuhan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar juga perlu dilaksanakan dengan tegas bagi memastikan penjenayah alam sekitar dipertanggungjawabkan dan pembangunan pesat perlu menitikberatkan kepentingan hutan serta biodiversiti.

Mukhriz menyerahkan titah ucapan kepada Sultan Sallehuddin ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz menyerahkan titah ucapan kepada Sultan Sallehuddin ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman hari ini.

“Beta tidak akan jemu mengingatkan tentang jaminan pemeliharaan kepelbagaian spesies dan ekosistem, terutama dalam membekalkan air bersih.

"Perkara ini perlu diberi perhatian serius, dalam menyediakan bekalan air bersih, Kedah berkorban dengan mengurangkan pembalakan, sekali gus mengurangkan pendapatan negeri. Diharap kerajaan Pusat mengambil kira pengorbanan ini,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan dukacita terhadap gejala sosial yang melanda remaja mutakhir ini, antaranya penyalahgunaan dadah, ketagihan air ketum dan isu-isu moral.

“Belia merupakan aset penting dalam pembangunan negara. Mereka perlu dibantu supaya mempunyai jati diri tinggi, berdaya saing dan berpotensi berjaya dalam hidup.

"Program latihan keusahawanan dan ICT perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan lebih ramai usahawan kalangan belia, seperti perniagaan dan perkhidmatan, industri kecil dan sederhana serta perniagaan tani atau komersial,” titah baginda.

Baginda bertitah, pada era ini, pemimpin perlu berfikir di luar kotak dalam proses menjana pembangunan.

“Beta ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Dewan terhadap keresahan dan rintihan rakyat, yang menghimpit kehidupan mereka. Kenaikan kos sara hidup perlu diberi perhatian sewajarnya kerana rakyat berdepan dengan kuasa beli yang semakin rendah, sekali gus menjejas kualiti kehidupan mereka,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, kuasa monopoli yang memaparkan kerakusan peniaga yang mahu mendapat untung berganda telah membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Beta mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri merangka pelan tindakan pengurusan sumber yang cekap, memastikan penguatkuasaan dan pemantauan berkesan. Tindakan proaktif yang diambil dengan melaksanakan pelbagai program yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan B40, petani, nelayan, pekebun kecil dan pesawah perlu diberikan perhatian,” titah baginda.

Baginda berharap Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang sedang dirangka akan menekankan kepada pembangunan menyeluruh.

“Pendapatan perkapita Kedah mengalami peningkatan bagi tempoh 2014-2017, pada kadar pertumbuhan 5.17 peratus, ini merupakan petunjuk positif dan beta berharap kadar pertumbuhan ini terus meningkat bagi mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2035,” titah baginda.