Kes bunuh: Empat dihadap ke mahkamah

Salah seorang tertuduh ketika dibawa ke mahkamah Seremban tadi.
Salah seorang tertuduh ketika dibawa ke mahkamah Seremban tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi pertuduhan membunuh sepasang suami isteri warga emas di Taman Desa Melati pada 24 Julai lalu.

Tertuduh, Tan Kian Ngip, 40, yang juga merupakan seorang broker saham dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pertuduhan dibaca oleh pembantu mahkamah di dua kamar berasingan di hadapan Majisteret, Mahyun Yusof dan V Vanetha.

Terdahulu, tertuduh antara jam 4 petang hingga 7.45 malam di Taman Desa Melati Nilai didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian terhadap Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67, dengan menikam menggunakan pisau.

Dengan itu, tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan direkodkan memandangkan Timbalan Pendakwaraya, Mas Syafiqah Mahroob memohon untuk penangguhan bagi melengkapkan laporan kimia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 September untuk sebutan semula.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh mengaku tidak salah terhadap pertuduhan menghilangkan senjata pisau yang digunakan oleh Tan Kian Ngip.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh, Lim Boon Ee, 35, Kek Yiing Haur, 41, dan Huen Kok Chou, 38, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Kes disebut semula untuk bicara pada 10 September.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nur'atiqah Sapari dan Mas Syafiqah Mahroob.

Manakala tertuduh, Tan Kian Ngip dan Lim Boon Ee diwakili peguam Datuk Joshua Kevin bersama Leng Wie Mun; Huen Kok Chou diwakili peguam B Jayaprakash Rou dan Joseph Mathew mewakili Kek Yiing Haur.