Lelaki maut nahas babit tiga kenderaan

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa selepas kemalangan berkenaan.
Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa selepas kemalangan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas kereta pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam satu kemalangan di simpang masuk Taman Johor, Jalan Besar Skudai di sini awal pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nazarudin Yusof berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.16 pagi.

“Siasatan awal mendapati, nahas dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Hilux dipandu mangsa berusia 32 dari arah Skudai menghala Johor Bahru gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang sebuah kereta jenis Proton Persona yang berada di hadapannya.

“Kemalangan terbabit turut mengakibatkan kereta dipandu mangsa terpusing beberapa kali manakala kereta Proton Persona yang dilanggarnya pula merempuh sebuah lagi kereta lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Nazarudin berkata, seramai 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu kerja-kerja menyelamat termasuk mengeluarkan mangsa yang tidak dapat dikeluarkan dari kenderaan pacuan empat roda tersebut.

“Ketika kejadian, mangsa pacuan empat roda berkenaan tidak tersepit tetapi tidak boleh keluar kerana keadaan bumbung kenderaannya telah kemik.

“Bomba kemudiannya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa berkenaan yang kemudiannya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu kereta Proton Persona iaitu lelaki berusia 39 tahun dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan.

Artikel Berkaitan: