Ahli UMNO bukan sasaran: Hamidah

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak menyasarkan keahlian dalam kalangan pemimpin mahupun ahli UMNO.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, parti itu membuka keahliannya kepada individu yang tidak berparti untuk menyertai parti tersebut.

Beliau berkata, UMNO tidak harus melihat Putra sebagai ancaman kerana kewujudan Putra untuk bersaing dengan UMNO.

"UMNO tidak sepatutnya rasa terancam kerana kita hanya menyasarkan keahlian kepada mereka yang tidak berparti terutama yang benci kepada Pakatan Harapan (PH).

"Apa yang berlaku di Larut adalah terpencil dan UMNO bahagian itu tidak harus rasa tergugat. Sedangkan bekas ketua bahagian mereka keluar sertai Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pun tak menjejaskan UMNO di situ inikan pula Putra," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria bahawa wujudnya usaha yang diketuai seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menarik ahli UMNO di bahagian itu menyertai Putra.

ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan Putra tarik ahli UMNO gagal

Mengenai usaha bekas ADUN itu, Hamidah mendedahkan individu yang dimaksudkan itu merupakan bekas ADUN Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Elias.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bekas ADUN itu mempunyai pengaruh dan pengikut sebelum ini dalam kalangan ahli UMNO.

Beliau berkata, kebanyakan ahli UMNO yang menyertai Putra di bahagian itu disebabkan mereka masih menyokong Ahmad Hasbullah.