Cari kerja tak susah!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CARI kerja tak susah, nak dapat kerja itulah yang susah. Ya lah, nak cari kerja di Malaysia bukannya susah pun. Ada bermacam-macam agensi pekerjaan, atas talian pun banyak. Taip saja nak kerja apa, semua terpampang depan mata, tinggal nak pilih saja.

Kalau ada yang kata susah cari kerja di Malaysia, penulis boleh katakan dia memang malas mencari. Dengan lambakan peluang pekerjaan dihebahkan saban hari, mana mungkin boleh dia katakan: “Susah betul cari kerja sekarang ini.”

Kalau dia kata “Susah betul nak dapat kerja zaman sekarang...”, boleh jugalah penulis bersetuju dengannya. Tanyalah siswazah yang masih menganggur, adakah senang untuk mereka mendapatkan pekerjaan?

Jawapan yang pasti keluar dari mulut mereka ialah “Susah!”. Bukan tidak mencuba bahkan mungkin puluhan resume telah dihantar namun daripada puluhan itu juga, tiada satu pun ‘melekat’.

Setiap kali menerima undangan menghadiri temuduga, berbungalah hati mereka - dengan harapan kali ini nasib menyebelahi. Meskipun berbunga, gundah-gulana terbit jua memikirkan perbelanjaan perlu dikeluarkan untuk ke lokasi temuduga.

Pengangkutan, makan, dokumen yang perlu dicetak, itu semua melibatkan kos, mencecah puluhan ringgit juga biasanya. Sudahlah tidak bekerja, dari mana pula mahu dapatkan wang untuk ke temuduga.

Kadangkala penulis terfikir, usaha mereka seakan-akan permainan saham pula. Keluar duit sedikit kemudian laburkan. Ada rezeki, dapatlah pulangan (kerja dan gaji setiap bulan).

Kalau tiada rezeki, termenunglah mengenang nasib, mengenang wang yang ‘terbang’. Meskipun rugi, mereka perlu mencuba lagi dengan harapan selepas ini, ada ‘ong’ untuk mereka.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, kadar pengangguran siswazah di Malaysia bukanlah perkara baru malah ia sesuatu yang membimbangkan. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur.

Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Jumlah tersebut sudah semestinya tidak boleh dipandang enteng. Pelbagai usaha dilakukan untuk membantu dan pelbagai faktor juga dikongsikan majikan, memberitahu sebab utama mereka tidak mengambil siswazah bekerja dengan mereka.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengakui gulungan ijazah kini bukan lagi lesen besar untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pelbagai faktor lain khususnya aspek fleksibiliti serta keupayaan komunikasi yang baik turut diberi perhatian penting.

Tegas beliau, pihaknya juga mendapati ada dalam kalangan siswazah kini menghadapi masalah komunikasi yang ketara sama ada secara lisan mahupun bertulis.

Jika benar komunikasi menjadi antara penyebabnya, sudah tiba masanya mereka yang masih menganggur meningkatkan kemahiran komunikasi. Bukan mudah namun tidaklah mustahil. Itu yang dimahukan majikan, itu jugalah yang harus ‘disajikan’ kepada mereka.

Menyingkap kisah mencari pekerjaan sebegini, lain orang lain ceritanya. Ada yang mudah mendapat kerja, lompat sana lompat sini. Ada yang lompat juga, lompat sewaktu temuduga sahaja, bukan lompat kerja. Asyik ditolak sahaja permohonan mereka.

Itu belum ambil kira bekerja dengan scammer. Kononnya membantu orang lain membuat pelaburan, rupanya dusta belaka. Ini kisah benar berlaku kepada rakan penulis. Sudahlah kerja dua minggu tidak dibayar, keluarga pula nyaris jadi mangsa penipuan.

Mujur kakaknya dapat menghidu taktik scammer itu. Kalau tidak, lesaplah ribuan ringgit dalam pelaburan yang entah dari mana datangnya. Semua itu adalah liku-liku kehidupan perlu ditempuhi golongan pencari kerja yang masih setia berusaha di luar sana.

Usahlah diperlekehkan usaha mereka. Bukan kepalang kecewanya bila permohonan ditolak. Duit, masa, tenaga dikorbankan namun hasilnya mengecewakan. Kita yang tidak berada di tempat mereka usahlah mengeji, memandang rendah sebaliknya sokonglah mereka.

Semoga ada sinar buat semua job hunters di luar sana. Penulis doakan usaha anda dipermudahkan. Biar apa pun terjadi, jangan anda berputus asa.

Biar putih tulang, jangan putih mata. Agi hidup, agi melaban (selagi hidup, selagi itulah melawan).