Mufti tegur telemovie rosakkan imej institusi tahfiz

Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi menampilkan isu LGBT di pusat tahfiz. Gambar kecil: Dr Abdul Rahman
A
A

KUANTAN - Menerbitkan drama mengaitkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di pusat tahfiz satu usaha memberi gambaran kotor terhadap agama Islam serta institusi tahfiz itu sendiri.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, menasihatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) supaya mengambil kira sensitiviti umat Islam sebelum menyiarkan telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi yang menampilkan isu LGBT di pusat tahfiz.

Beliau berkata, adalah lebih baik dicegah dengan tidak menyiarkan telemovie berkenaan sebelum keadaan menjadi 'parah'.

"Telemovie itu hanya merosakkan imej maahad tahfiz, sekolah agama dan institusi Islam. Sedangkan kita ketahui kes-kes yang dilaporkan berlaku di tahfiz adalah kes terpencil.

"Tahfiz adalah tempat anak-anak belajar menghafal al-Quran. Kitab suci ini tidak boleh dihafal melainkan orang yang bersih hatinya. Bagaimana boleh mengatakan budak budak tahfiz yang menghafal al-Quran melakukan LGBT?," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tindakan penerbit telemovie itu ibarat cubaan memomokkan masyarakat mengenai institusi tahfiz.

"Apabila pusat-pusat pengajian ini dipandang serong, sedikit sebanyak ia akan terpaut kepada aktiviti serta pengisiannya sekali iaitu al-Quran.

"Pembinaan filem ini sebenarnya tidak mampu menyekat pandangan umum masyarakat kepada tahfiz-tahfiz dan al Quran itu sendiri," katanya.

"Kenapa mesti drama ini terfokus kepada tahfiz? Kenapa dengan sekadar sedikit maklumat pengetahuan kita tentang hal ini sudah mendorong untuk jadikannya tema untuk filem, padahal banyak lagi hal yang lebih wajar diberi fokus," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi sedang dinilai