TRW guna khidmat pemain Jepun

Bibi Ramjani Ilias Khan
Bibi Ramjani Ilias Khan
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan akan mendapatkan khidmat bekas pemain Phnom Phen Crown FC (PPCFC), Yuka Suzuki yang beraksi pada saingan Liga Kemboja bagi memperkuatkan Kelantan menjelang saingan Liga Premier musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya bakal mengikat pemain berusia 28 tahun dari Jepun itu selama semusim untuk membantu pasukan The Red Warriors (TRW).

"Majlis menandatangani kontrak dengan pemain berkenaan akan berlangsung dalam masa terdekat dan dijangka pemain itu akan menyertai latihan bersama pasukan pada 1 Januari depan.

"Kita harap Suzuki dapat menggunakan pengalamannya beraksi di Liga Kemboja untuk membimbing barisan muda Kelantan nanti," katanya ketika dihubungi di sini,hari ini.

Suzuki merupakan pemain import kedua Kelantan selepas Kafa hanya mengekalkan seorang pemain import musim ini iaitu Cassio Francisco De Jesus dari Brazil yang bermain di posisi pertahanan.

Bibi Ramjani berkata, Suzuki akan bermain di posisi tengah yang akan bergandingan bersama Nik Akif Syahiran Nik Mat.

"Kedua-dua pemain import ini ditaja oleh penaja kami bagi membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh persatuan ketika ini.

"Bagi pemain tempatan, kami sudah mencukupi kuota yang diperlukan selepas sudah menandatangani kontrak bersama beberapa pemain tempatan dari luar Kelantan dan mengekalkan 80 peratus pamain muda musim lepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Kafa mengesahkan mendapatkan khidmat pemain bekas pemain Melaka United (MU), Fauzi Roslan dan Mohd Saufi Muhammad bagi mengisi posisi penyerang dan pengaja gol. - Bernama