Kampung Paloh bakal jadi projek Lembah Jagung

Mohd Sallehhuddin (kanan) menerima cenderamata daripada ketua projek tanaman jagung selepas melawat kawasan Ladang Jagung Paloh di Tanah Merah hari ini.
Mohd Sallehhuddin (kanan) menerima cenderamata daripada ketua projek tanaman jagung selepas melawat kawasan Ladang Jagung Paloh di Tanah Merah hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang menjadikan projek tanaman jagung manis Kampung Paloh di daerah ini sebagai Lembah Jagung dalam usaha meningkatkan pertanian berkenaan ke peringkat lebih baik.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, kawasan tanaman jagung di Paloh berpotensi untuk dimajukan berikutan ia melibatkan seramai 54 peserta dengan keluasan 32 hektar yang diselia melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanah Merah.

"Bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan kita mahu melihat penglibatan anak-anak muda dan turut meninjau kawasan-kawasan tanah baharu berdekatan yang berpotensi untuk dijadikan ladang tanaman jagung jenis madu ini.

"Dalam usaha menghasilkan produk jagung lebih bermutu dan terus dikenali kita juga merancang mengkomersialkan produk tanaman ini untuk dijadikan jus jagung melalui hasil jagung yang kurang bermutu bagi mengurangkan kos kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ladang Jagung Paloh selepas merasmikan majlis program projek Jagung Manis Kampung Paloh yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood di sini hari ini.

"Setakat tahun ini, sebanyak RM960,000 diperoleh melalui hasil jagung di daerah ini dan keseluruhan Kelantan mencatat RM2.4 juta merangkumi enam lagi projek jagung di negeri ini.

"Kita juga berusaha menambah baik sistem pengairan sedia ada memandangkan petani mengalami kesukaran menyiram tanaman jagung pada musim panas.

"Di samping itu kita juga mengharapkan kerjasama kerajaan negeri dalam usaha membantu meluaskan kawasan ini bagi menjadikan kawasan tanaman jagung ini berdaya maju," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menjadikan produk jagung sebagai makanan ternakan yang sebelum ini kebanyakannya diimport dari negara luar.