Abang Polar kongsi pengalaman teroka artik

Abang Polar
Abang Polar
A
A
A

KUANTAN - Lelaki bertubuh kecil ini tidak pernah menyangka dirinya mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.

Rizal Khalid, 43, atau lebih dikenali sebagai Abang Polar berjaya meneroka artik sejauh 300 kilometer bersama kereta luncur salji anjing pada April tahun lalu.

Beliau adalah pengendali kereta luncur salji anjing pertama mewakili Malaysia menyertai ekspedisi 'Fjällräven Polar 2018' di Artik' bersama 19 peserta lain dari seluruh dunia yang dibahagikan kepada 10 wilayah.

Sempena Minggu Sains Negara (MSN) Peringkat Negeri Pahang, Abang Polar berkongsi pengalamannya kepada pengunjung terutama pelajar mengenai kaedah sains yang digunakan ketika berada di artik.

“Sebenarnya dalam hidup ini semua benda ada kena mengena dengan sains. Kalau kita mengembara pun ada kaitan dengan sains.

“Jadi saya ingin kongsi pengalaman bagaimana ilmu sains membantu kita mengembara terutama di tempat sejuk macam artik.

“Sebagai contoh kawalan suhu badan yang sesuai, makanan yang sesuai dan pakaian ketika berada di kawasan pergunungan yang bersalji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Majlis Pelancaran Minggu Sains Peringkat Negeri Pahang, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Pahang 2019 diadakan di Dewan Utama Majlis Perbandaran Kuantan itu berlangsung sehingga esok.

Abang Polar turut berkongsi pengalaman mengembara mengikut garis panduan ajaran Islam seperti menggunakan sarung tangan apabila mengendalikan anjing dan menggunakan cara tayamum untuk berwuduk.

Kini, beliau dalam perancangan untuk ke antartika dan mengalu-alukan tajaan daripada mana-mana pihak yang kemudiannya akan dikongsikan kepada masyarakat dalam negara.

“Jika ada tajaan saya alu-alukan kerana saya lakukan ini untuk dikongsikan kepada masyarakat dan sebab itu saya cabar diri untuk melakukan aktiviti seperti ini,” katanya.