Royal Floria Putrajaya di lokasi baharu

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Tahun ini, Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya atau Royal Floria Putrajaya (RFP) beralih ke lokasi baharu selain diserikan dengan penampilan Taman Diraja Pahang, Royal Garden Showcase sebagai daya tarikan utama festival.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata RFP edisi ke-11 itu akan diadakan di Taman Botani, Presint 1 pada 31 Ogos hingga 8 Sept berbanding kebiasaannya di Anjung Floria, Presint 4, dengan mengetengahkan orkid dan bonsai sebagai tema.

Beliau berkata langkah itu dijangka membawa penjimatan sehingga RM1 juta kerana penganjur tidak perlu 'membawa' taman ke lokasi seperti di Anjung Floria memandangkan fizikal Taman Botani itu memenuhi kriteria diperlukan.

"Penjimatan itu tidak sedikit pun mengubah konsep asal festival, malah penyertaan atau aktiviti juga tidak berkurang sebagaimana penganjuran sebelum ini," katanya pada sidang media prapelancaran RFP itu di sini hari ini. Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dengan tema Mother of All Gardens, Khalid berkata penampilan Royal Garden Showcase pada RFP tahun ini adalah bersesuaian dengan sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Sultan Pahang.

"Lebih menarik, pameran itu akan menampilkan bunga orkid yang dinamakan dengan nama Queen Azizah Iskandar, mengambil nama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah," katanya.

Khalid berkata pemilihan Taman Botani, yang mempunyai koleksi tumbuh-tumbuhan yang banyak dan matang, mampu memberi nilai tambah kepada RFP selain mempromosi taman itu sendiri.

Ditanya kemungkinan timbul masalah parkir, Khalid berkata terdapat 1,500 tempat letak kenderaan di Taman Botani selain penganjur turut menyediakan bas perantara untuk pengunjung selain perkhidmatan ‘teksi air’.- Bernama

Artikel Berkaitan: