55 kali derma darah tak perlu bayar bil hospital

Rohaida menunjukkan buku derma darahnya dan sehingga kini dia sudah 55 kali menderma darah.
Rohaida menunjukkan buku derma darahnya dan sehingga kini dia sudah 55 kali menderma darah.
A
A
A

KUALA KRAI - Hanya dengan 55 kali menderma darah, seorang wanita dari Kampung Tualang dekat sini tidak perlu membayar bil rawatan di hospital kerajaan.

Rohaida Omar, 46, mula menderma darah ketika berusia 20 tahun memandangkan ketika itu dia menghadapi masalah jerawat yang serius.

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, jerawat yang terlalu banyak terutama pada wajahnya menyebabkan dia buntu tambahan pelbagai ikhtiar telah dilakukan termasuk menggunakan pelbagai produk.

"Namun semua usaha saya tidak berhasil sehinggalah seorang rakan yang juga seorang doktor menyarankan saya menderma darah sebagai usaha mengurangkan masalah jerawat.

"Pada mulanya saya takut hendak derma darah sebab dengar macam-macam cerita kononnya selepas menderma darah, berat badan akan naik mendadak, malah ada orang cakap penderma darah juga berisiko dapat penyakit berjangkit. Tapi demi memastikan masalah jerawat dapat diatasi saya nekad menderma darah ketika itu," katanya.

Rohaida berkata, selepas beberapa kali menderma darah, dia gembira masalah jerawat yang dihadapi sejak meningkat remaja berjaya diatasi.

"Nampaknya cara ini sesuai dengan saya. Walaupun jerawat dah pulih, saya tetap meneruskan rutin menderma di mana sahaja program derma darah yang diadakan. Adakalanya saya secara sukarela ke hospital untuk menderma darah.

"Selepas selalu derma darah, ternyata cakap-cakap yang saya dengar mengenai kesan negatif derma darah tidak benar sama sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, lebih menggembirakan apabila kekerapan menderma darah turut membolehkan dia menerima rawatan secara percuma awal Julai lalu.

"Saya turut menghadapi masalah resdung yang memerlukan saya menjalani pembedahan awal Julai lalu.

"Ketika dibenarkan pulang, saya dimaklumkan tidak perlu bayar bil. Walaupun jumlah keseluruhannya tidak sampai RM100 tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perbelanjaan penderma seperti saya," katanya.