Lompat parti, Noor Azmi seorang oportunis

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

PARIT BUNTAR - Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali tidak perlu lompat parti untuk mendapatkan peruntukan daripada PH kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memerintah memberi peruntukan untuk membangunkan semua parlimen.

Timbalan Yang Dipertua Pas Parit Buntar, Abu Bakar Hussain berkata, Noor Azmi dilihat silap memahami konsep demokrasi yang adil kerana parti pemerintah wajib menyalurkan pembangunan dan meringankan beban rakyat sama ada tempat itu dimenangi parti pemerintah atau pembangkang.

"Seandainya beliau berhasrat membantu rakyat tidak perlu lompat parti, kekal sahaja dalam parti yang beliau menangi (Umno) kerana tanggungjawab menyalur dana adalah pemerintah bukan ahli parlimen.

"Semasa beliau menang bersama parti pemerintah ketika itu (Umno) tidak banyak juga usaha yang dilakukan bagi kurangkan beban rakyat dan tidak banyak pun pembangunan berlaku di Parlimen Bagan Serai," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Parlimen Bagan Serai tetap jauh daripada arus pembangunan walaupun Noor Azmi bersama parti pemerintah ketika itu.

Katanya, kenyataan Noor Azmi menggambarkan dia bukanlah tokoh yang berprinsip dan bermoral sehingga sanggup melompat parti semata-mata untuk mudah mendapat saluran bantuan melalui parti berkuasa.

"Kenyataan itu juga menggambarkan dirinya pemimpin yang oportunis yang ingin bergayut di mana dahan untuk bergantung hayat melalui pihak lain.

"Tidak mustahil juga ahli parlimen ini akan terus melompat dan melompat apabila parti lain pula yang menang dengan prinsip sama iaitu mudah nak dapat dana jika bersama parti yang memerintah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Noor Azmi ketika dalam Sinar Live memaklumkan tujuan melompat parti menjadi ahli Bersatu adalah kerana memikirkan kepentingan rakyat di kawsannya terutama golongan petani, pesawah dan mereka yang miskin.