Padah tunjuk 'power' dalam media sosial

Aksi remaja menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya yang dimuat naik Facebook JPJ hari ini.
Aksi remaja menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya yang dimuat naik Facebook JPJ hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Aksi lagak ngeri yang ditunjukkan empat penunggang motosikal dipercayai berlaku di Kota Tinggi dekat sini akhirnya memakan diri apabila kesemua mereka berjaya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jejak kesemua penunggang motosikal itu berjaya dikesan JPJ menerusi beberapa klip video yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.

Dalam klip video berkenaan, kesemua penunggang motosikal terbabit dengan jelas didapati menunjukkan aksi berbahaya seperti 'wheely' selain tidak memakai topi keledar.

Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota penguat kuasa telah pergi ke rumah salah seorang pemilik motosikal berdasarkan nombor pendaftaran yang diambil daripada klip video berkenaan.

"Semakan mendapati kenderaan itu berada di Kota Tinggi, Johor. Pihak kami kemudian ke lokasi dan mendapati motosikal berkenaan benar ada bersama penunggang yang dirakamkan dalam klip video terbabit.

"Hasil soal siasat yang dilakukan, penunggang motosikal berkenaan bersetuju untuk mengemukakan tiga lagi penunggang lain yang terlibat dalam klip video terbabit.

"Keempat-empat penunggang merupakan pelajar sekolah berusia 14 hingga 15 tahun yang mana waris mereka juga langsung tidak mengetahui mengenai kesalahan mereka dan video yang tular itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razali berkata, berdasarkan keterangan kesemua suspek, tujuan mereka melakukan aksi berbahaya itu kerana suka-suka dan mahu memuat naiknya ke laman sosial.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah diambil keterangan di hadapan waris dan menunjukkan lokasi kejadian. JPJ kemudiannya mengeluarkan Notis Saman JPJ P(22) kepada semua suspek," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah membuat penerangan kepada waris remaja terbabit berkenaan tindakan lanjut dan pendakwaan yang akan dilakukan di mahkamah selepas ini.

Antara kesalahan yang dikenakan adalah di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu bawah umur dan Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) akta sama kerana lesen kenderaan motor tamat tempoh/tiada perlindungan insurans.

Selain itu, mereka juga berdepan kesalahan di bawah Seksyen PU(A)043/73-004 kerana tidak memakai topi keledar.