MPK sita barangan niaga di kawasan awam

Norkamawati
Norkamawati
A
A
A

KUANTAN - Peniaga kedai makan yang masih ingkar arahan larangan meletakkan barang perniagaan mereka di kawasan awam bakal dikenakan tindakan serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam, Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, tindakan sita akan dilakukan tanpa sebarang amaran atau nasihat kepada peniaga.

Menurutnya, tindakan itu dikenakan kerana peniaga sudah sedia maklum mengenai kesalahan berkenaan dan tindakan tegas itu juga sebagai memperingati kepada peniaga lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

"Kita sita terus kerusi meja dan segala peralatan atau barangan yang diletakkan di kawasan awam contohnya meletak kerusi meja di luar kedai.

"MPK turut menyita kerusi meja yang di letak di atas petak tempat meletak kereta dan jalan susur di hadapan premis. Operasi dijalankan secara berkala dan kita bertindak serta beri keutamaan terhadap aduan orang ramai," katanya.

Norkamawati berkata, sebanyak 18 operasi menyita dikenakan terhadap peniaga sehingga Julai 2019.

"Tindakan diambil adalah sebagai memperingati peniaga supaya tidak mengulangi kesalahan dan menjadi pengajaran kepada peniaga lain.

"Tindakan peniaga tersebut melanggar Seksyen 46 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Artikel Berkaitan: