JCMB hargai jasa polis

Jasvir Singh (tiga dari kanan) bersama Yusri (empat dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian kejohanan hari ini.
Jasvir Singh (tiga dari kanan) bersama Yusri (empat dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian kejohanan hari ini.
A
A
A

BENTONG - Buat julung kalinya, Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Lima Sebelah Piala Timbalan Ketua Polis Pahang 2019 dalam usaha menghargai jasa dan komitmen Polis Diraja Malaysia di negara ini.

Ia adalah pendekatan terbaharu melibatkan kerjasama antara polis dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mendekatkan masyarakat dengan pihak berkuasa tersebut.

Pengerusi JCMB, Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, kejohanan berkenaan bukanlah satu kejohanan biasa tetapi bagi menzahirkan penghargaan kepada polis dan juga mendekatkan masyarakat kepada pasukan keselamatan itu.

Menurutnya, pengorbanan dan jasa anggota polis amat besar dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara yang membolehkan masyarakat dapat menjalankan aktiviti harian dengan baik dan selamat.

"Jadi, penganjuran Kejohanan Bola Sepak bagi merebut Piala Timbalan Ketua Polis Pahang ini adalah atas inisiatif saya sendiri dalam usaha untuk menzahirkan penghargaan kepada pasukan polis dan kepimpinan pihak terbabit atas sumbangan mereka kepada masyarakat Bentong khususnya," katanya pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Lima Sebelah Piala Ketua Polis Pahang di Padang Dataran Bentong, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Datuk Abdul Aziz Salleh dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis.

Jasvir memberitahu, penganjuran kejohanan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 42 pasukan melibatkan kategori sekolah rendah, menengah dan terbuka.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, program tersebut amat bermanfaat dalam mendekatkan lagi masyarakat dengan polis seterusnya bersama-sama berganding bahu dalam membanteras jenayah.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, program itu dapat membuatkan masyarakat khususnya golongan belia memahami tugas-tugas polis seterusnya mendorong mereka menceburi kerjaya sebagai polis.

"Saya berterima kasih kepada Jasvir Singh selaku Pengerusi JCMB kerana dengan inisiatif dan kerjasama beliau, program ini dapat diadakan yang bukan sahaja pertandingan bola sepak tetapi lebih dari itu merapatkan hubungan polis dan masyarakat," katanya.