UMNO dedah tiga syarat sertai PH

Ahmad Zahid ketika berucap pada program santai barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar di Dewan RC hari ini.
Ahmad Zahid ketika berucap pada program santai barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar di Dewan RC hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO meletakkan tiga syarat kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu parti itu menyertai gabungan yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pendedahan itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan, syarat terbabit telah disampaikan kepada wakil Bersatu baru-baru ini.

Menurutnya, tiga syarat berkenaan adalah menolak DAP sebagai rakan politik, selain membawa Pas bersama dalam gabungan itu serta tidak membubarkan UMNO.

“Saya didatangi orang Dr Mahathir baru-baru ini dan saya sebutkan tiga syarat ini sebagai pendirian parti jika mahu jalin kerjasama.

"UMNO tidak akan sesekali tinggalkan Pas yang kini menjadi rakan politik parti dan jangan lagi minta orang UMNO sertai Bersatu dan akhirnya mahu bubarkan UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis santai bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan RC hari ini.

Ahmad Zahid berkata, UMNO turut menyatakan pendirian menolak sebarang kerjasama politik dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selagi DAP menjadi rakan kongsi politik PH.

“Ini kehendak akar umbi, saya perlu pertahankan selaku Presiden. Ketika saya bertanding Ketua Pemuda UMNO, semua orang cakap Anwar yang suruh bertanding padahal beliau yang larang, bila saya menang, dia akui dia yang suruh, inilah perangai sebenar Anwar,” katanya.

Menurutnya, gabungan penyatuan ummah UMNO-Pas sebenarnya digeruni PH terutama DAP, kerana kuasa majoriti Melayu semakin kukuh.

Artikel Berkaitan:

“Ditambah pula, selepas Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang membenarkan umur 18 tahun mengundi, sebelum ini kita mempunyai 62 peratus pengundi orang Islam dan dicampur dengan usia 18 tahun, menjadi 68 peratus pengundi. Jika termasuk Bumiputera, menjadi 72 peratus,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, itu sebabnya DAP mahu memberikan sokongan kepada Dr Mahathir dan kini beralih pula kepada menyokong Anwar.

“Umur Dr Mahathir dah Isyak nak masuk tahajud dah, jadi mereka bergantung pula pada Anwar yang banyak terhutang budi pada DAP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur pemimpin dan ahli yang terlalu meraikan perbezaan pendapat sehingga menimbulkan perpecahan atau kabilah dalam parti.

“Kita ibarat rumah yang terbakar, hanya ada tiang seri yang masih kuat, jadi marilah kita sama-sama bina rumah baharu, pertahankan perpaduan dalam parti dan cari titik persamaan bukan perbezaan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan ahli UMNO kurang menunjukkan sikap kesetiaan kepada pemimpin, berbanding Pas yang sentiasa wala’ (setia) terhadap pemimpin mereka.

“Dalam Pas ada wala’, dalam UMNO kurang. Tanpa wala’ terhadap pemimpin, bila hendak berjaya ambil semula kerajaan? Kita akan adakan tahaluf siyasi bersama Pas, akan jadi besan UMNO, kita tak mahu Pas lari kalau tengok kita ‘cempera’, sudah tentu Pas mencari ‘keluarga’ yang bersatu hati,” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu ada suara sumbang mempertikai kehadirannya kembali terajui UMNO selepas bercuti pada Disember 2018.

“Saya tak cakap nak berhenti, saya hanya sebut beri kepercayaan kepada Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk galas tugas sebagai Presiden. Hak saya untuk kembali sebab saya dipilih secara demokratik dalam pemilihan UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid menyerahkan sementara kepada Mohamad untuk menggalas tugasnya pada Disember 2018 dan pada 30 Jun lalu kembali semula terajui UMNO.