Penyokong Perak, Kedah rintis usaha perpaduan

Penyokong Perak dan Kedah merakam kenangan sebelum bergerak ke Stadium Nasional Bikit Jalil Kuala Lumpur sempena perlawanan final berkenaan.
Penyokong Perak dan Kedah merakam kenangan sebelum bergerak ke Stadium Nasional Bikit Jalil Kuala Lumpur sempena perlawanan final berkenaan.
A
A
A

MENGAMBIL semangat Final Shopee Piala FA malam ini, penyokong Perak merintis usaha mengeratkan perpaduan antara penyokong apabila mereka menyambut kehadiran penyokong Kedah sebelum bersama-sama bergerak ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Setiausaha The Bos Gaurus (TBG) Mobs, Mohd Shirin Adenan berkata, penganjuran program tersebut dibuat bagi menyemai budaya semangat kesukanan dalam kalangan penyokong.

Katanya, penyokong Perak dan Kedah harus menjadi contoh kepada penyokong pasukan yang lain dengan menunjukkan semangat perpaduan biarpun menyokong pasukan berbeza.

"Kita sebenarnya mencontohi semangat yang ditunjukkan kedua-dua presiden Persatuan Bola Sepak Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sempena final Piala FA kali ini.

"Kita mahu selepas ini penyokong-penyokong pasukan lain meneruskan ukhuwah seperti yang kita buat hari ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Silaturrahim Penyokong Kedah dan Perak di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 132 penyokong Perak menyambut kira-kira 80 penyokong Kedah yang menaiki dua bas singgah ke Ipoh sebelum bersama-sama tiga bas dinaiki penyokong Perak ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ketibaan penyokong pasukan Kedah turut disambut Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

Sementara itu, Mohd Hafez Mubin berkata, perpaduan dalam kalangan penyokong harus dibudayakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan mencetuskan provokasi tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada mana-mana penyokong.

Beliau berkata, program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya budaya ini terus disemai dalam kalangan penyokong dan peminat sukan.