UMNO-Pas kerjasama, Kit Siang pula terlebih meroyan, Reezal

Reezal Merican
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menempelak penasihat DAP, Lim Kit Siang yang disifatkan sebagai individu terlebih meroyan dengan kerjasama politik UMNO dan Pas.

Beliau turut memberi peringatan kepada Ahli Parlimen Gelang Patah itu serta DAP agar tidak terlalu celupar menghina kerjasama UMNO dan Pas.

“Tidak ada orang politik yang paling 'terkesan, khuatir dan gementar' dengan kerjasama UMNO dan Pas selain seorang yang bernama Lim Kit Siang.

“Kekhuatiran Kit Siang cukup jelas apabila menulis artikel panjang mengecam kedua-dua pimpinan, Presiden UMNO dan Pas. Artikel di dalam Malaysiakini bertajuk 'Thanks Again, Zahid, for the latest explanation on klepto-theocracy' itu gambaran kegelisahan Kit Siang dengan menggelar kerjasama UMNO-Pas dengan jenama yang cukup kasar.

“Kerjasama ini (UMNO-Pas) kerjasama politik dan DAP perlu bersikap anak jantan dan berdepan dengannya dalam kerangka politik. Jangan membawa agama Islam di dalam ruang perdebatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, orang Melayu dan umat Islam sedar DAP sedang menikmati laba politik paling mewah dalam sejarah politiknya.

“Kerjasama UMNO-Pas ini mampu merubah suasana politik. Kalaupun berubah, ia sebagai respons kepada kesombongan dan keangkuhan politik mutakhir ini.

“Kit Siang dan DAP perlu membawa perangai politik lebih beradab dan tertib. Tinggalkan budaya politik zaman gelap ke suatu era yang lebih menghormati teras Perlembagaan.

“Berdepan kerjasama UMNO-Pas dalam parameter politik! Bukan semahunya menghina Islam dan memberi jenama buruk seperti taliban dan teokrasi,” jelasnya.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pada fikirannya apabila DAP telah menjadi sebahagian kerajaan dan ramai antara mereka bergelar menteri, Kiat Siang dan partinya akan berubah dan menjadi lebih beradab.

“Rupanya tidak. Kit Siang dan komrad DAP tidak akan pernah berubah. Kit Siang membangkitkan lagi soal penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Jiwa politik DAP masih geram dan gelora dengan tindakan pembatalan itu. Dalam bahasa halus, Kit Siang menganggap tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) membatalkan ratifikasi, berasaskan penolakan Majlis Raja-Raja, dan suara keramat majoriti Melayu/Islam, satu dosa politik yang besar kepada DAP,” katanya.

Tambah Reezal Merican, begitulah wajah dan watak sebenar DAP, selagi mereka tidak miliki semuanya, selagi itu mereka bersuara keras.

“Walau terpaksa menentang "asas Perlembagaan" yang membentuk negara bertuah ini,” katanya.