Nahas: Seorang wanita maut, tiga cedera

Kemalangan maut babitkan tiga kenderaan di KM29 Jalan Jeli- Dabong berhampiran Kubur Datu di sini semalam. - Foto ihsan pembaca
Kemalangan maut babitkan tiga kenderaan di KM29 Jalan Jeli- Dabong berhampiran Kubur Datu di sini semalam. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

JELI - Seorang wanita maut manakala tiga yang lain cedera apabila kereta Perodua Kancil dipandu bertembung Toyota Hilux dalam kejadian di KM29, Jalan Jeli- Dabong berhampiran Kampung Kubur Datu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, mangsa yang maut, Ariati Zakaria, 49, meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Kemalangan jam 5 petang itu melibatkan tiga kenderaan, iaitu Perodua Kancil dan Honda HRV yang datang dari arah Dabong ke Jeli manakala Toyota Hilux dari arah Jeli ke Dabong.

"Mangsa yang menghala ke Jeli dikatakan bertembung dengan Hilux yang dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar hadapan Kancil," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, akibat pertembungan itu juga, penumpang Kancil yang juga wanita berusia 22 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

"Pemandu Hilux yang juga lelaki berusia 53 tahun turut cedera dan sakit di bahagian badan.

"Pemandu Honda HRV yang juga lelaki berusia 54 tahun pula luka di bahagian tangan selain sakit di belakang dan tengkuk," katanya.

Ahmad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan: