Hina nabi: Anak muda Islam diminta bersatu suara

Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam dan Pas Kawasan Sabak Bernam masing-masing menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sabak Bernam di sini.
Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam dan Pas Kawasan Sabak Bernam masing-masing menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sabak Bernam di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Anak muda Islam di negara ini diminta bersatu suara serta bersama-sama menyatakan bantahan sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Sabak Bernam, Muhammad Nur Waafi Badruldin berkata, golongan itu tidak boleh berdiam diri apabila agama Islam dipersenda pihak tidak bertanggungjawab.

"Kita mahu anak muda bangkit mempertahankan kesucian Islam daripada anasir-anasir yang cuba melakukan provokasi melampau dengan menyentuh sentiviti agama Islam secara berterusan," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam, hari ini.

Sebanyak tiga laporan polis dibuat terhadap tindakan pemilik akaun Facebook menggunakan nama Wendy Loong yang melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Tiga laporan itu masing-masing satu laporan dibuat Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam dan Pas Kawasan Sabak Bernam di Balai Polis Sabak Bernam serta satu laporan polis bersama Pemuda UMNO Sungai Besar dan Pas Kawasan Sungai Besar di Balai Polis Sungai Besar.

Waafi berkata, pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia digesa memandang serius perkara tersebut.

"Kita berdoa supaya agama dan maruah negara terlindung daripada segala kejahatan," katanya.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam, Mohd Nazid Salleh berkata, penghinaan sedemikian disifatkan tidak bertanggungjawab kerana 'membakar' sentimen kemarahan kaum Melayu dan Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Bukan pemilik akaun ini sahaja, tetapi sebelumnya lagi terdapat pihak tidak bertanggungjawab menghina junjungan besar Muhammad," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, umat Islam sangat hiba dan kecewa dengan tindakan terbabit.

"Sudahlah keadaan politik negara tidak stabil, rakyat berdepan tekanan ekonomi dan hari ini agama Islam pula dipersenda di media sosial," katanya.

Mohd Imran yang juga ADUN Sungai Panjang berkata, agama Islam yang menjadi agama rasmi negara perlu dipertahan, disanjung dan diperkukuh bukan dipelekeh seperti itu.

"Kita menggesa pihak berkuasa terutama polis melakukan siasatan segera termasuk mengenal pasti siapa pemilik akaun Facebook menggunakan nama Wendy Loong.

"Tindakan setimpal perlu diambil terhadap pesalah terbabit supaya tidak lagi berlaku perkara yang mengganggu-gugat perpaduan kaum dan agama di negara ini," katanya.