Anak pendatang Pakistan barisi Kabinet Boris Johnson

SAJID JAVID
SAJID JAVID
A
A
A

LONDON - Anak kepada seorang pendatang Pakistan melakar sejarah apabila dilantik membarisi Kabinet baharu Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.

Sajid Javid yang juga menteri Muslim pro-Israel dilantik menggantikan bekas Menteri Kewangan, Philip Hammond yang mengumumkan peletakan jawatannya sebelum Johnson dilantik menjadi Perdana Menteri.

Pelantikan Javid, 50, sebagai Chancellor of the Exchequer menjadikan beliau orang Asia dan Muslim pertama memegang jawatan tersebut.

Pernah berkhidmat sebagai pakar pelaburan Deutsche Bank sebelum krisis kewangan pada tahun 2008-2009, Javid bakal menggalas tugas menjaga kewangan Britain.

Javid turut bertanding dalam saingan merebut jawatan pemimpin Parti Konservatif namun gagal di pusingan akhir sebelum undian kepimpinan.

Barisan Kabinet baharu pilihan Johnson dilihat menjurus kepada penyokong tegar pelan Brexit sementara 14 orang menteri Kabinet, kebanyakannya pegawai kanan Theresa May seperti Hammond dan Jeremy Hunt telah meninggalkan kerajaan.

Dalam pada itu, ramai pihak menyifatkan rombakan yang dilakukan Johnson sebagai ‘rombakan paling brutal’ dalam sejarah Kabinet Britain.

Susulan kejayaan meraih kepercayaan ahli Parti Konservatif bagi menggantikan May, Johnson berikrar untuk melaksanakan pelan Brexit dalam tempoh 99 hari menjelang tarikh akhir pada 31 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Selain berdepan pelbagai cabaran domestik, Johnson perlu menangani ketegangan diplomatik yang semakin memuncak dengan Iran. - Agensi