Ketua Armada Johor terima keputusan jawatan digantung

Kenyataan Norul Haszarul yang dimuat naik dalam Facebook Haszarul Aloy hari ini.
Kenyataan Norul Haszarul yang dimuat naik dalam Facebook Haszarul Aloy hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Armada Johor, Norul Haszarul Abu Samah menerima keputusan pucuk pimpinan sayap parti menggantung jawatan disandangnya di peringkat negeri dan bahagian dengan terbuka.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan berkenaan seolah-olah memperlihatkan parti tersebut bersikap tertutup terhadap ahli-ahli parti yang melontarkan perbezaan pendapat.

“Parti yang saya sertai sejak awal penubuhan kini seolah-olah menutup pintu kepada perbezaan pendapat serta tidak lagi terbuka dan peka terhadap pandangan rakyat.

“Bagaimanapun, saya menerima keputusan pucuk pimpinan Armada yang diterajui YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan hati yang tenteram dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengakui menerima surat berhubung penggantungan jawatan selaku Ketua Armada Johor dan Ketua Armada Labis berikutan kenyataannya pada 12 Julai lalu yang menyokong keputusan Kerajaan Johor berhubung had usia belia.

Norul Haszarul berkata, beliau tidak sanggup lagi untuk terus berdiam diri ketika hala tuju Armada Bersatu tidak lagi menumpukan kepada agenda rakyat dan memenuhi janji manifesto pilihan raya, sebaliknya sentiasa bermotivasi untuk mewujudkan perbalahan dengan beberapa pihak terutama Istana Johor.

“Sebagai orang Melayu dan anak jati Johor, saya juga tidak sanggup lagi berbalah dengan Istana Johor lantaran sikap Ketua Armada Nasional yang sering mencetuskan masalah dengan Istana Johor.

“Kenyataan penuh saya berkenaan perkara ini akan menyusul sedikit masa lagi. Apapun, terima kasih atas sokongan dan dorongan semua pihak ketika sama-sama pertahankan prinsip bagi mengimbangkan kepentingan perjuangan anak bangsa dan kedaulatan Johor,” katanya.

Artikel Berkaitan: