Tun M tiba di Ankara untuk lawatan rasmi empat hari ke Turki

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga bagi lawatan rasmi beliau ke Turki bermula hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga bagi lawatan rasmi beliau ke Turki bermula hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ANKARA - Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini untuk lawatan rasmi empat hari ke Turki.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada 7.45 malam waktu tempatan (12.45 pagi Khamis waktu Malaysia).

Beliau disambut di lapangan terbang oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Turki Datuk Abd Razak Abdul Wahab, Menteri Industri dan Teknologi Turki Mustafa Varank serta Gabenor Ankara Vasip Sahin.

Kira-kira 15 minit kemudian, pesawat khas yang membawa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tiba di lapangan terbang yang sama, dan kedua-kedua pemimpin kemudiannya mengadakan pertemuan singkat di bilik VVIP.

Dr Mahathir mempunyai jadual yang padat semasa di Turki, dengan pelbagai mesyuarat dan temubual dengan media di sini dan Istanbul; bermula dengan upacara meletakkan kalungan bunga di makam Mustafa Kamal Ataturk, pengasas dan Presiden pertama Turki, di Anitkabir di sini pada Khamis.

Selepas itu, Dr Mahathir akan melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), yang merupakan pusat teknologi Turki dalam aspek reka bentuk, pembangunan, pemodenan, pembuatan, integrasi dan sokongan kitaran hayat sistem aeroangkasa bersepadu; yang merangkumi platform udara sayap tetap dan sayap berputar; serta UAV dan satelit.

Pada hari yang sama, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Kompleks Presiden di sini, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki.

Selepas Ankara, Dr Mahathir akan terbang ke Istanbul pada pagi Jumaat. Pesawat yang membawa beliau akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, lapangan terbang yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad, di mana Perdana Menteri juga akan dibawa meninjau lapangan terbang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada hari yang sama, Dr Mahathir akan menghadiri perbincangan Meja Bulat Peneraju Industri yang melibatkan kira-kira 35 syarikat utama Turki, dankemudiannya beliau akan menghadiri majlis jamuan teh dengan diaspora Malaysia di Turki.

Semasa lawatan, Perdana Menteri diiringi oleh tiga orang menteri iaitu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking.

Lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turki atas jemputan Presiden Turki bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Turki, di mana hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sudah terjalin sejak 1964.

Turki adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM9.79 bilion. Eksport Malaysia ke Turki mencecah RM7.97 bilion sementara import dari Turki berjumlah RM1.82 bilion. - Bernama