Lelaki hilang ketika memancing

No Image Caption
A
A
A

TAIPING - Seorang pemancing dipercayai hilang ketika memancing di kawasan Air Terjun Pecah Batu, Trong semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Razlam Abd Hamid berkata, mangsa, Muhammad Taufik Mahamad, 29, pergi memancing dengan seorang rakan di kawasan itu pada jam 3 petang.

"Rakan mangsa telah naik ke bahagian atas untuk memancing dan mangsa mandi di kawasan tersebut, apabila turun semula kira-kira jam 4 petang, mangsa didapati tiada di tempat mandi kecuali hanya ada pakaian dan beg," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Razlam, rakannya telah mencari mangsa di kawasan sekitar bersama beberapa orang yang mandi di kawasan itu, namun mangsa tidak ditemui sehingga pukul 7.30 malam.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Taiping dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memulakan usaha mencari mangsa selepas menerima laporan pada 9.56 malam tadi.

Katanya, anggota APM dan bomba memaklumkan usaha mencari berdepan kesukaran disebabkan arus sungai deras, kawasan sekitar licin dan berlumut serta keadaan sekeliling gelap walaupun disuluh dengan lampu suluh selain hujan.

Beliau berkata gerakan mencari mangsa diteruskan pagi ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: