Isu antarabangsa, pertahanan antara dibincang Mahathir, Erdogan

Recep Tayyip Erdogan, Tun Dr Mahathir Mohamad
Recep Tayyip Erdogan, Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

ANKARA - Isu hubungan antarabangsa, pertahanan, perdagangan dan pelaburan merupakan antara perkara yang akan dibincangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sewaktu lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turki bermula Rabu.

Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab berkata, pertemuan empat mata antara Dr Mahathir dan Erdogan diikuti mesyuarat delegasi kedua-dua negara akan berlangsung di Istana Presiden di sini sewaktu hari kedua daripada empat hari lawatan Perdana Menteri.

Katanya sewaktu lawatan ke Turki, Perdana Menteri diiringi tiga menteri iaitu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking

“Perkara dibincang mungkin berkaitan hubungan antarabangsa seperti isu-isu serantau selain isu Palestin dan Rohingya.

“Selain itu, soal pertahanan dan industri pertahanan juga mungkin turut dibincangkan. Ini kerana Turki terkenal dan ada kekuatan dalam industri pertahanan,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika ditemui di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Turki di sini pada malam Selasa.

Katanya, pada hari yang sama iaitu sebelum pertemuan dengan Erdogan, Perdana Menteri akan melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), yang terlibat dalam industri pertahanan dan ketenteraan, yang mana Dr Mahathir akan ditunjukkan tentang ‘aviation industry’ yang dilaksanakan Turki.

“Syarikat itu terlibat dalam pembinaan drone dan helikopter seperti ‘attack helicopter’,” katanya.

Abd Razak berkata, pada Jumaat, iaitu hari ketiga lawatan, Dr Mahathir akan ke Istanbul dengan pesawat yang beliau naiki akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul, yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad, dan beliau akan melawat lapangan terbang itu.

Artikel Berkaitan:

“Pada hari yang sama, Perdana Menteri akan menghadiri program Roundtable with the Captain of Industries. Dijangka 35 syarikat besar Turki akan terlibat dalam program itu. Selepas itu, beliau akan menghadiri majlis minum petang bersama diaspora Malaysia,” katanya.

Katanya lawatan rasmi Dr Mahathir ke Turki adalah atas jemputan Presiden Turki dan ia akan merapatkan dan meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan Turki sejak kedua-dua negara mula menjalin hubungan diplomatik pada 1964.

“Dalam soal perdagangan, Turki adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar dari blok Asia Barat manakala Malaysia bagi Turki adalah rakan kongsi terbesar dalam kalangan negara ASEAN,” katanya. - Bernama