Muhyiddin perlu dedah pertemuan tertutup dengan pemimpin DAP

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan perkara dibincang dan dipersetujui dalam pertemuan membabitkan enam pemimpin DAP di pejabat kementerian itu semalam.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan perlu dilakukan memandangkan seorang pemimpin DAP mendakwa bahawa pertemuan itu membuahkan hasil.

Menurutnya, Pemuda UMNO melahirkan rasa kerisauan dan kebimbangan dengan laporan pertemuan tertutup pemimpin DAP itu dengan Muhyiddin bagi membincangkan isu-isu kewarganegaraan

“Pemuda UMNO juga mendesak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan supaya tidak bertolak-ansur dalam isu kewarganegaraan kerana ia adalah sebahagian daripada kontrak sosial waktu merdeka dan Perlembagaan wajib dipatuhi sepenuhnya

“Kami juga mengecam sekeras-kerasnya pemimpin DAP kerana menggunakan saluran belakang bagi menyelesaikan isu-isu kewarganegaraan in,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, perbincangan berkaitan kewarganegaraan perlu dibuat secara terbuka dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, mesyuarat Kabinet dan dalam sidang Parlimen.

“(Pertemuan secara tertutup ini) menunjukkan seperti ada agenda tersembunyi,” ujarnya.

Semalam, sekeping gambar memaparkan lima pemimpin DAP sedang menunggu sebelum mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin bagi membincangkan isu kewarganegaraan tular dalam media sosial.

Artikel Berkaitan:

Individu yang berada dalam gambar tersebut ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng.

Menurutnya, pertemuan itu merisaukannya kerana berdasarkan pemerhatian sebelum ini, Ahli Parlimen dari DAP dilihat banyak bertanyakan soalan menumpukan supaya pemberian kewarganegaraan dipermudahkan untuk golongan tertentu.

“Ironinya, pemimpin tertinggi DAP, Lim Guan Eng turut sama dalam pertemuan tersebut sehingga meninggalkan tugas lebih penting sebagai Menteri Kewangan.

“Walhal pertemuan tersebut membabitkan sekumpulan individu tertentu dan melibatkan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri,” katanya.