Video tular budak minum arak sah berlaku di Johor Bahru

Rakaman video yang menunjukkan kanak-kanak lelaki itu sedang minum air daripada tin minuman keras tersebut.
A
A

JOHOR BAHRU - Rakaman video seorang kanak-kanak sedang minum minuman keras seperti tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam disahkan berlaku di bandar raya ini.

Dalam klip video berdurasi 31 saat itu, kanak-kanak lelaki berkenaan juga dilihat sedang meneguk air daripada tin minuman keras berwarna biru.

Kejadian dipercayai berlaku di Iskandar Puteri itu kemudiannya mendapat perhatian pelbagai pihak yang mana ada daripadanya turut membuat laporan polis kerana bimbang kanak-kanak itu sedang didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad turut mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, ibu kepada kanak-kanak berusia dua tahun itu tampil membuat laporan penafian dengan memaklumkan anak lelakinya itu bertindak sendiri dengan mengambil tin minuman keras di ruang ibadah mereka.

“Ibu kepada kanak-kanak ini datang membuat laporan kira-kira jam 9 malam semalam. Dia juga memaklumkan tindakan itu di luar kawalannya malah bukan sengaja membiarkan anaknya meminum arak tersebut.

“Dia memberitahu, ketika membiarkan anak sebentar, dia dengan sendiri mengambil tin minuman arak tersebut yang mana diletakkan di ruang ibadat mereka sebelum meneguknya,” katanya, di sini hari ini.

Md Yusof berkata, kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih diteruskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia