Impian pesakit kanser ke Legoland tercapai

Nor Azimah (dua, kiri) memimpin Muhammad Norfareez sambil dibantu wakil UPF di sambutan hari jadinya.
Nor Azimah (dua, kiri) memimpin Muhammad Norfareez sambil dibantu wakil UPF di sambutan hari jadinya.
A
A
A

GEORGETOWN - Impian seorang kanak-kanak pesakit kanser, Muhammad Norfareez Haikal Mohd Nor Hisyam, 9, untuk bercuti di Legoland bakal tercapai apabila Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Ladang Lada sudi menajanya ke taman tema tersebut.

Dia yang lebih mesra disapa Along oleh ahli keluarganya menderita kanser Extracranial Ewing's Sarcoma sejak 2017 ketika berusia tujuh tahun.

Bagaimanapun, rawatan terhadapnya telah dihentikan sejak Oktober tahun lalu selepas pembedahan di bahagian kepalanya dijalankan.

Ibunya, Nor Azimah Mohd Zain, 36, berkata, hatinya luluh apabila doktor mengesahkan tiada lagi rawatan untuk anak sulung daripada empat beradik itu dan Muhammad Norfareez dikatakan hanya mampu bertahan selama enam bulan sahaja.

"Along mula dikesan menghidap kanser sejak 2017 dan pelbagai rawatan telah dijalani termasuk kemoterapi namun sel kansernya telah merebak sehingga tulang belakang pada masa ini.

"Sekarang ini kami hanya mahu gembirakan Along, tunaikan apa sahaja permintaan dia termasuk hasrat untuk ke Legoland. Dia memang teringin untuk ke Legoland sejak 2017 lagi, namun dia sakit ketika itu dan kami terpaksa menangguhkan hasratnya," katanya.

Muhammad Norfareez ditemani ibunya, Nor Azimah diraikan dalam satu majlis hari jadi di Batu Feringghi hari ini.
Muhammad Norfareez ditemani ibunya, Nor Azimah diraikan dalam satu majlis hari jadi di Batu Feringghi hari ini.

Nor Azimah dan suaminya, Mohd Nor Hisyam Ridzuan, 32, ditemui di majlis sambutan hari jadi Muhammad Norfareez bertemakan pantai yang diadakan di Batu Feringghi, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Majlis itu dianjurkan Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) bagi meraikan Muhammad Norfareez bersama keluarganya.

Nor Azimah berkata, dia dan Nor Hisyam tidak memaklumkan kepada Muhammad Norfareez mengenai sambutan hari jadi yang diadakan untuknya di pantai hari ini.

"Sepatutnya hari jadi Along pada 13 September nanti, namun kami dengan bantuan FOCCAN sengaja sambut awal hari jadi untuk gembirakan Along.

"Kami pun tidak maklumkan kepada Along mengenai sambutan awal hari jadi dia hari ini untuk berikan kejutan kepadanya, kami harap dia gembira dengan semua usaha ini," katanya.

Muhammad Norfareez diraikan bersama keluarganya.
Muhammad Norfareez diraikan bersama keluarganya.

Sementara itu, Presiden FOCCAN, Maznah Tayib berkata, majlis berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Universal Peace Federation (UPF) dan sukarelawan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan National Chung Hsing University Taiwan.

"Lebih menggembirakan, MPKK Ladang Lada hari ini memaklumkan mereka sudi menaja Along untuk menunaikan permintaannya ke Legoland.

"Kami berharap Along gembira dengan semua ini termasuk majlis sambutan hari jadinya yang diadakan lebih awal," katanya.

Muhammad Norfareez turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana berusaha meraikannya dalam majlis tersebut selain sudi menajanya ke Legoland.