Bubar Parlimen: Demi rakyat atau rakus rebut kuasa?

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyelar kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man gesaannya agar Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan aneh.

"Pilihan raya bertujuan untuk mentadbir negara, bukannya memuaskan nafsu ahli politik yang hanya ghairah untuk berpolitik tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

“Kalau dahulu semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, dengan pelbagai skandal 1MDB, FELDA dan Tabung Haji, Pas minta Najib serta UMNO-BN diberi tempoh menyelesaikan masalah-masalah negara," katanya.

Raja Kamarul Bahrin berkata, seharusnya Pas memberi ruang kepada PH memandangkan pentadbiran mereka baru setahun.

"Kalau ia pun sedang mabuk bercinta dengan UMNO, eloklah berlaku sedikit adil kepada PH. Lagipun UMNO sudah berpeluang lebih 60 tahun memerintah.

"Bukankah dulu Pas juga ada berkata pilihan raya dan pilihan raya kecil yang diadakan kerap kali akan merugikan rakyat dan negara?” soalnya.

Beliau yang juga Pengerusi Amanah Terengganu turut mempersoalkan sama ada tindakan tersebut adil kepada rakyat yang terpaksa menghabiskan masa dan dana bagi memenuhi nafsu ahli politik yang tidak habis-habis berpolitik dan ingin merebut kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Pilihan raya diadakan lima tahun sekali untuk memberi masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk bekerja dan membina negara.

“Rakyat penat dengan terlalu banyak politik murahan tanpa tumpuan membela nasib mereka. Tuan Ibrahim adalah wakil rakyat di Kelantan yang sudah hampir 30 tahun diperintah oleh Pas.

“Eloklah beliau menumpukan masa dan perhatian membaiki nasib rakyat Kelantan yang amat memerlukan pembelaan," ujarnya.

Tambah beliau lagi, saranan Tuan Ibrahim untuk mengadakan pilihan raya sekarang juga seolah-olah tidak meraikan serta menghormati hak anak muda berumur 18 tahun yang perlu sedikit masa bersedia untuk boleh mengundi,” katanya.

Jelas Raja Bahrin, ia bukanlah cara politik matang untuk masa hadapan rakyat yang perlu pembelaan keperluan asas seperti perumahan, peluang pekerjaan dan mengatasi isu kos sara hidup.

“Islam meminta kita berlaku adil dan bersabar dalam semua hal serta aspek hidup bermasyarakat dan berkerajaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas gesa bubar Parlimen segera

Terdahulu, Tuan Ibrahim mahu kerajaan Persekutuan mengambil langkah membubarkan Parlimen dengan segera supaya kepimpinan baharu dapat menstabilkan kembali negara.

Beliau berkata, langkah itu juga penting untuk masa depan lebih teratur dan bersistematik.

"Pembohongan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebabkan nilai duit kita jatuh dan pelabur hilang keyakinan.

"Suasana sudah tidak stabil, kita tidak ada pilihan jadi tidak perlu tunggu tiga tahun bubar Parlimen.

"Esok pun boleh, insya-ALLAH Pas dan UMNO bersedia bila-bila masa sahaja," katanya.

Menurutnya, banyak bukti yang diperlihatkan kepada rakyat kini, termasuklah perebutan kuasa melibatkan kepimpinan tertinggi parti dalam PH.