Peraturan larangan merokok terpakai di Sarawak

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - Peraturan larangan merokok melibatkan semua restoran termasuk di tempat terbuka berkuat kuasa 1 Januari 2019, turut terpakai di Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan Sarawak menyokong penuh usaha kementerian berhubung perkara itu.

Katanya, kerajaan Sarawak melalui pihak berkuasa tempatan akan menyelaraskan undang-undang yang akan dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), Akta Makanan 1983.

"Penyelarasan itu dibuat bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan agar pertindihan undang-undang yang melibatkan peraturan negeri dapat diatasi.

"Saya telah menghubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Prof Datuk Sr Sum Kui Hian untuk mendapatkan kefahaman berkaitan isu kononnya Sarawak tidak bersama Kementerian Kesihatan Malaysia-Kerajaan Persekutuan kerana laporan 'Smoking ban doesn't apply to Sarawak'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan sebuah akhbar tempatan menggunakan tajuk berkenaan, yang disiarkan semalam.

Dzulkefly berkata, kenyataan yang dilaporkan itu mungkin telah disalahtafsirkan segelintir masyarakat di Sarawak.

"Terima kasih kepada semua yang telah menunjukkan sokongan tanpa henti berkaitan larangan merokok yang akan dikuatkuasakan ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyeru sokongan berterusan dari segenap lapisan masyarakat agar hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat dilindungi daripada bahaya asap rokok dapat dicapai," katanya.