Azmin respons kenyataan Presiden PKR isu video

Mohamed Azmin -Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Perkembangan baharu, tatkala semua orang tertanya-tanya sama ada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir atau tidak Temurapat Majlis Pimpinan Pusat, Ahli Parlimen Gombak itu menciap sesuatu dalam laman Twitter beliau sebentar tadi.

Ciapan tersebut dipercayai merujuk kepada kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar di sini petang tadi.

“Saya terbaca “kenyataan penuh” secara bertulis Presiden PKR yang dikeluarkan petang tadi. Beri saya sedikit masa untuk memahami perkembangan baharu ini.

“Setelah meneliti kenyataan Anwar Ibrahim petang ini, saya mengambil maklum pendirian beliau yang menerima hasil siasatan yang diumumkan oleh KPN (Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador) di mana saya tidak terlibat dalam video yang menjadi bahan fitnah.

“Saya juga mengambil maklum ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan dan anggota parti yang terlibat dalam sebaran video ini. Ini selari dengan ketegasan saya dari awal bahawa politik kotor dalaman parti mesti diperangi habis habisan,” katanya.

Ciapan demi ciapan ditulis Mohamed Azmin seolah-olah menunjukkan beliau sememangnya tidak berada di Port Dickson di mana anggota parti kini sedang sibuk mendengar ucapan pimpinan tertinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR tidak akan pecat Azmin sehingga siasatan polis selesai

Anwar berkata PKR menerima baik kenyataan bahawa Timbalan Presiden Mohamed Azmin tidak terlibat dalam satu video yang disebar baru-baru ini.

“Berkenaan dakwaan terdapat ahli atau pemimpin parti politik yang terlibat dalam tindakan sebaran video tersebut, PKR tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas.

“Tindakan diambil mengikut perlembagaan parti jika terdapat penglibatan mana-mana anggota PKR yang disabitkan kesalahan berlandaskan undang-undang.

“PKR mengulangi prinsip bahawa kami menolak politik jijik sekeras-kerasnya,” ujarnya.