Teras Melayu-Islam tawan PRU15

Reezal Merican (empat dari kiri) melancarkan Pertubuhan Gerakan Anak Muda 18 Tahun
A
A

SABAK BERNAM - Taawun antara UMNO dan Pas diyakini membentuk teras Melayu dan Islam dalam kemajmukan di negara ini sekali gus meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pemuafakatan itu bukan hanya menjadi lembayung kepada bangsa Melayu dan umat Islam semata-mata, tetapi jauh merentasi kepentingan semua kaum.

Malah, katanya, kerjasama kedua-dua parti terbesar Melayu dan Islam yang dimulakan sejak setahun lalu membawa kepada hubungan penyatuan lebih kukuh pada masa depan.

"Perjalanan ini akhirnya akan membawa ke satu destinasi paling penting iaitu membentuk sebuah kerajaan dan menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang disebut sebagai kerajaan sepenggal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sungai Besar di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, keindukan Melayu dan Islam ketika ini berada dalam keadaan rapuh hingga menimbulkan keluh-kesah terhadap pentadbiran PH yang tidak stabil.

"PH dilihat tidak mempunyai teras atau induk Melayu dan Islam yang kuat di negara ini.

"Apabila tidak ada teras (Melayu dan Islam) yang kuat, ibarat bangunan yang kita nampak tinggi dan cantik tiada tiang boleh runtuh bila-bila masa," katanya.

Katanya, justeru itu, kepimpinan UMNO dan Pas merangka gerak kerja termasuk mewujudkan piagam yang akan diumumkan dalam waktu terdekat.

"Kepimpinan kedua-dua parti ini akan merumuskan perjalanan yang akan membawa kepada piagam tersebut.

"Ini memungkinkan bahawa kekuatan akan bertambah kukuh hasil daripada penyatuan ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia