Abang polis selamatkan si bulus!

Gambar yang tular di laman Facebook sejak Khamis lalu.
Gambar yang tular di laman Facebook sejak Khamis lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keprihatinan dua anggota polis yang menyelamatkan seekor anak kucing yang ‘terperangkap’ di tengah kesibukan trafik di Jalan Sultan Omar pada Khamis lalu nyata menyentuh hati netizen.

Ia membuktikan rasa tanggungjawab dan berbuat baik itu tidak hanya kepada manusia semata-mata, tetapi juga kepada makhluk ciptaan ALLAH yang lain.

Gambar Sarjan Sulaiman Ali dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu sebelum itu, mula tular sejak petang Khamis lalu sehingga mendapat ribuan Like sejak dikongsi di laman Facebook.

Tindakan Sulaiman bersama rakan setugasnya, Koperal I Chamnan mendapat reaksi positif netizen yang memuji tindakan mereka menyelamatkan kucing berkenaan daripada dilanggar.

Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua anggota berkenaan sedang melakukan rondaan sebelum ternampak kucing itu, lalu Sulaiman bertindak menyelamatkannya sementara Chamnan menjaga motosikal.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, beliau kagum dengan keprihatinan anggota berkenaan, sehingga ia menjadi tular.

“Apa yang mereka lakukan turut mendapat pujian Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail sendiri dan sijil penghargaan ini diberikan sebagai pembakar semangat kepada mereka untuk terus melakukan tugas dengan sebaik mungkin.

“Kita harap ia juga menjadi contoh yang baik kepada warga PDRM khususnya warga IPD Kuala Terengganu,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada kedua-dua anggota itu di IPD Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan: