Dayang Areeda elak gosip dan kontroversi

A
A
A

BIARPUN pendatang baharu ini sudah empat tahun berada dalam industri seni hiburan tempatan, namun entah di mana silap percaturan pelakon bernama Dayang Areeda masih kurang dikenali ramai.

Dayang Areeda sudah berlakon puluhan drama termasuk filem.

Antara lakonannya ialah telefilem GF Aku Amnesia, Playboy Kantoi, Sepatu Tinggi Medina, Anda Telah Di Prank!, Abang Sadoku Kekwat, Sha & Shah Raya, PA Encik Monster, Semusim Rindu dan Ku Redha. Diikuti drama bersiri seperti Pembancuh Kopi Mr Vampire, Si Kolot Suamiku dan Sha & Shah.

Kali terakhir nama Dayang Areeda mencuri perhatian peminat ialah menerusi drama Kekasih Paksa Rela yang bersiaran di Slot Akasia TV3.

Menurut gadis cantik berusia 25 tahun itu, mungkin kerana namanya bersih daripada cerita-cerita panas menyebabkan dirinya kurang dikenali selain belum mendapat watak yang betul-betul membekas di hati penonton.

“Saya akui nama Dayang Areeda masih belum cukup kuat untuk dikenali umum. Nama saya hanya disebut-sebut apabila ada drama sedang bersiaran. Habis sahaja drama itu, penonton pun lupakan saya.

“Mungkin juga kerana nama saya bersih tanpa sebarang gosip ataupun kontroversi. Namun secara peribadi adalah lebih baik saya bersederhana sahaja tanpa adanya cerita-cerita sebegitu kerana kesan buruknya bukan sahaja pada saya tetapi juga keluarga,” ujarnya.

Menyedari kehadiran dirinya di lapangan ini ibarat tenggelam timbul, Dayang Areeda menggunakan platform media sosial untuk berinteraksi dengan peminat.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini serba-serbi kita semua suka menggunakan media sosial seperti Instagram terutamanya untuk mengemaskini tentang apa sahaja yang kita lakukan.

“Begitu juga dengan saya akan berinteraksi dengan mereka melalui media sosial supaya mereka mengenali Dayang Areeda sebagai pelakon,” katanya kepada Sinar Harian.

Pelakon kelahiran Kudat, Sabah ini juga menjadikan pelakon Nabila Huda sebagai rujukan.

“Saya sebenarnya suka melihat watak yang ada pelbagai emosi dan juga aksi lasak.

“Bagaimanapun, saya mahu lebih banyak mencuba melakonkan watak yang sarat dengan kesedihan dan menangis.

“Saya percaya daripada watak seperti itu mampu mengukur sebaik mana bakat lakonan.

“Lihat sahaja Nabila, dia sudah berlakon pelbagai watak dan namanya terus dikenali ramai,” katanya.

Mengakhiri temu bual ketika ditemui baru-baru ini, pelakon berpendidikan Diploma Perniagaan, Universiti Multimedia itu berharap agar kemunculannya di arena hiburan ini diterima baik oleh semua masyarakat termasuk warga industri seni.