Saya ada tengok cermin pagi tadi, seloroh Anwar

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kenyataan pedas yang dikeluarkan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyuruhnya melihat cermin disebabkan Timbalan Presiden PKR itu hanya membaca tajuk berita tanpa menghayati berita penuh.

Meskipun, Mohamed Azmin dilihat keras dalam kenyataannya semalam, namun, Anwar hari ini memilih untuk meredakan ketegangan yang memuncak dalam parti itu.

Presiden PKR itu secara berseloroh mengakui beliau sudah melihat cermin pagi tadi tetapi sedikit terkilan kerana Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak membaca keseluruhan konteks yang dimaksudkannya tentang letak jawatan sekiranya video intim itu sahih.

“Saya ada tengok cermin pagi tadi. Tapi saya fikir tidak adil kerana Mohamed Azmin tidak membaca keseluruhan kenyataan saya, itu bukan isu sebenarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: 27 pemimpin PKR tegur Anwar

Video intim: Azmin suruh Anwar tengok cermin

Azmin perlu letak jawatan jika video intim sahih kata Anwar

“Saya rasa kenyataan (tentang letak jawatan) saya telah dimanipulasi. Bagaimanapun saya tak rasa kecewa dengan kenyataan Mohamed Azmin... tapi saya fikir dia perlu baca berita penuh berkenaan kenyataan tersebut,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Mohamed Azmin memulangkan paku buah keras kepada Anwar berhubung syornya untuk beliau melepaskan jawatan sekiranya video intim itu sah dirinya.

Mohamed Azmin dengan tegas berkata, Anwar sepatutnya melihat cermin sewaktu menyatakan cadangan tersebut.

“Baca gerak bibir saya, beritahu dia (Anwar) dia perlu melihat lelaki di dalam cermin.

“Muhasabah. Suruh Anwar muhasabah. Tolong refleks muka sendiri dalam cermin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu menangkis persepsi bahawa beliau bimbang kononnya terdapat gerakan untuk menganggu gugat perjalanannya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Itu bukan isunya. Pakatan Harapan (PH) sudah buat keputusan tiada perubahan dalam penggantian Perdana Menteri, itu cuma andaian sedangkan perbincangan antara saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa ‘on track’.

“Saya ada sokongan daripada PH dan sokongan Perdana Menteri juga. Jadi ini tidak adil kepada saya dan juga Azmin. Sedangkan dalam konteks video intim, kami sejak awal katakan menolak politik kotor yang dimainkan. Kami (PKR) lahirkan rasa simpati kepada Mohamed Azmin dan keluarganya,” ujarnya.

Anwar turut mengakui sudah dua kali menghubungi timbalan presidennya itu yang kini berdepan detik sukar dalam kehidupan dan kerjaya politik.