Lans koperal cemas enjin kereta terbakar

Mohd Firdaus singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban untuk mengisi minyak, sebelum menyedari enjin keretanya panas.
A
A

SEREMBAN - Seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal, berdepan detik cemas apabila enjin keretanya terbakar di Kilometer 274.8 Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS) arah utara di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi itu, Mohd Firdaus Jamaludin, 28, sedang memandu kereta jenis Proton Satria GTI dari arah Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka menuju ke Setiawangsa, Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy, anggota tentera itu singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban untuk mengisi minyak, sebelum menyedari enjin keretanya panas.

"Bagaimanapun dia meneruskan perjalanan dan selepas kira-kira lima minit, asap keluar dari corong pendingin hawa kereta sebelum terdapat percikan api dari bonet kenderaan itu.

"Anggota tentera itu menghentikan kenderaannya di bahu jalan dan menyelamatkan diri sebelum menghubungi talian kecemasan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bomba mengambil masa kurang lima minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran.

"Kita anggarkan 90 peratus enjin kereta itu musnah dan nilai kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat insiden itu pada jam 2.24 pagi.