Umie Aida bawa anak angkat bertemu Tun Mahathir dan isteri

DS Umie Aida dan keluarga ketika mengunjungi Tun Mahathir dan isteri. - FOTO: Instagram DS Umie Aida
A
A

PELAKON Datin Seri Umie Aida berkongsi momen istimewanya bersama suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang berkesempatan memperkenalkan anak angkat mereka, Aisya, kepada pemimpin kesayangan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman YAB Perdana Menteri itu turut menyaksikan Umie dan suami meraikan sambutan hari ulang tahun Tun dan isteri yang jatuh pada 10 Julai dan 12 Julai lalu.

Menerusi laman Instagramnya hari ini, Umie berkongsi beberapa keping foto istimewa ketika mereka sekeluarga mengunjungi Tun.

Malah kata Umie, Tun Siti sempat menitipkan beberapa nasihat dan perkongsian tip menjaga bayi dengan baik.

“Sempat juga me berlakon depan Tun Siti, walaupun tak sampai seminit. Me sampai je rumah Tun dengan langkah seperti orang baru lepas bersalin.

“Ayat pertama yang keluar dari mulut me pada Tun Siti.. Umi masih dalam pantang, baru 30 hari Tun.

“Wajah Tun Siti tak terkejut langsung, malah tersenyum sambil pegang baby dan berkata; Alhamdulilah.. jaga amanah ALLAH sebaik-baiknya dan cuba susu badan selama dua tahun untuk baby ni. Tun seperti tahu lakonan me tadi tak natural,” kongsi Umie.

Menurut Umie dalam satu temu bualnya bersama Astro Awani, dia dan suami telah lama berhasrat untuk membawa anak angkatnya itu untuk bertemu dengan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

"Alhamdulillah, kesempatan diperoleh dan Umie sangat gembira apabila Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah turut berkongsi kegembiraan Umie dan suami," katanya.