Gangguan Air: Selesaikan dalam tempoh 84 jam atau tukar pengurusan

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi amaran kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) supaya menyelesaikan kerja-kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) minggu hadapan dalam tempoh 84 jam seperti yang dijanjikan.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, sekiranya bekalan air tidak dapat dipulihkan dalam tempoh itu, beliau menegaskan suruhanjaya berkenaan akan mendesak Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari supaya merombak pengurusan tertinggi Air Selangor dengan serta-merta.

Katanya, walaupun SPAN memahami gangguan tersebut tidak dapat dielakkan demi kepentingan pengguna, namun beliau mahu Air Selangor bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.

"Kerja-kerja penambahbaikan dijadualkan bermula 23 Julai dari pukul 9 pagi hingga 9 malam dan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 84 jam.

"Oleh itu, sekiranya 758,570 akaun pengguna di tujuh wilayah yang terjejas tidak menerima bekalan air menjelang 9 malam pada 26 Julai, kami meminta Menteri Besar Selangor buat pertukaran pengurusan. Kami ambil perkara ini dengan serius," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan ibu negara akan mengalami gangguan bekalan air antara dua hingga empat hari bermula 23 Julai ini.

Air Selangor dalam kenyataan semalam berkata, gangguan tersebut disebabkan kerja penambahbaikan di loji rawatan air untuk meningkatkan kecekapan bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel Berkaitan: