Kerajaan Perak sedang goyah

Razman
A
A

IPOH - Pas Perak menyifatkan kerajaan Perak yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sedang goyah.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, isu rogol dan tuduhan rasuah yang menimpa dua Exco Kerajaan Perak memperlihatkan DAP dan PKR saling berbalas 'bedilan' yang sekali gus mencemarkan integriti pemimpin kerajaan.

Beliau berkata, pelbagai tuduhan tersebut timbul rentetan usaha pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang masih belum reda.

"Ia hanya menunjukkan pemerintahan bersama Bersatu-DAP-PKR di Perak sedang bergoyang teruk. Amanah mungkin bergayut pada yang menguntungkan. Menjadi mangsa kepada semua ini adalah rakyat yang tentunya tidak dapat menikmati kesejahteraan hidup sewajarnya dilimpahkan dari pentadbiran kerajaan.

"Semuanya lantaran sesama PH sibuk bercakaran dan meraih kepentingan. Lebih malang lagi setelah janji-janji Manifesto PH tidak tertunai sejak PRU14 lalu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Razman berkata, di sebalik kedaulatan undang-undang yang kuat dicanangkan PH, Kerajaan Perak pula telah mengesahkan bahawa ia hanya retorik dan sekadar juara slogan.

Katanya, dalam tempoh kurang dua tahun pentadbiran PH di Perak mereka telah menodai prinsip kedaulatan undang-undang dengan tindakan yang bercanggah perjuangan mereka dan Perlembagaan.

"Antaranya isu status hak pemilikan tanah kampung baru sehingga 999 tahun atau hak milik kekal yang seolah-olah memajak atau menggadai kedaulatan negeri. Ia jelas menunjukkan wujud desakan secara melampau pihak tertentu dan cubaan menggunakan kedudukan jawatan dan kuasa.

"Lebih tidak boleh diharap, apabila 'rule of law'yang gah dicanang selama ini menjadi kebal dari dilaksanakan kepada mereka sendiri. Inilah pengkhianatan dan campur tangan politik yang merosakkan. Maka, kami menggesa pilih kasih ini mesti dihentikan serta-merta," katanya.

Dalam pada itu, Razman turut menggesa semua Exco Kerajaan Perak yang terpalit mahupun sedang disiasat dengan sebarang tuduhan perlu bercuti atas nama maruah, tanggungjawab, integriti dan wibawa.

Katanya, tindakan itu bagi membolehkan ruang diberikan kepada pihak berkuasa melaksanakan tugas berkaitan tanpa ada kemungkinan dipengaruhi.

Terdahulu, seorang Exco Kerajaan Perak mewakili DAP sedang berdepan siasatan dakwaan merogol pembantu rumah manakala seorang lagi exco mewakili PKR berdepan tuduhan rasuah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia