Ahli ada kuasa tentukan hala tuju parti

WAN SAIFUL WAN JAN
WAN SAIFUL WAN JAN
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli mempunyai kuasa untuk menentukan corak dan hala tuju parti, demikian kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, pindaan terhadap perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat, adalah bagi membolehkan semua ahli terlibat dalam pemilihan pemimpin parti itu.

"Dengan pindaan itu juga diyakini dapat mengurangkan budaya ‘warlord’ dalam sesebuah parti politik. Ia bukan sahaja menggambarkan konsep demokrasi terbaik malah sesuai diamalkan selari dengan zaman kuasa rakyat sekarang.

“Kuasa yang diberikan kepada ahli itu juga akan memastikan pemimpin akar umbi sentiasa cakna dengan tuntutan ahlinya, Bersatu akan menjadi sebuah parti yang sentiasa peka dengan kehendak akar umbi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Saiful berkata, pihaknya yakin perubahan signifikan ini akan menyebabkan Bersatu mendapat lebih sokongan.

“Saya amat gembira dengan keputusan ini, isu satu ahli satu undi telah lama kami bincangkan. Sejak tahun lepas lagi, ia dibahaskan dengan panjang lebar dalam MPT,” katanya.

Beliau turut berharap pindaan ini akan diterima ahli parti semua peringkat, pada masa sama kepimpinan parti hendaklah memperkemaskan jentera pentadbiran bagi memastikan proses itu lancar.

“Pentadbiran yang baik penting untuk pastikan tiada kerumitan pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu pinda perlembaan parti, semua jawatan akan dipertandingkan

Terdahulu, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pindaan terhadap perlembagaan Bersatu akan membolehkan semua jawatan terbuka untuk dipertandingkan termasuk jawatan tertinggi parti.

Ahli biasa dapat memainkan peranan menentukan jawatankuasa cawangan dan bahagian, seterusnya daripada bahagian, perwakilan akan menentukan pemilihan kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, mesyuarat khas bagi pindaan itu akan diadakan pada Sabtu ini.