Video intim: Polis perluas skop siasatan

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingkat Jasa Pahlawan Negara di Batalion 4, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Semenyih hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memperluaskan skop siasatan termasuk kemungkinan pembabitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor dalam kes penyebaran video intim yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bagaimanapun berkata, kes itu dianggap rumit kerana melibatkan ahli politik dan tidak mahu terburu-buru dalam mengambil tindakan.

"Siasatan kami menyeluruh dari semua sudut termasuk siapa yang terbabit dalam konspirasi video itu.

"Kami tidak mahu ada pihak yang teraniaya dan siasatan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) iaitu dikemukakan kepada peguam negara dan apabila selesai tindakan lanjut akan diambil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Video intim: Rakyat mahu tahu dua perkara, kata Anwar

Beliau ditemui selepas memakaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 231 anggota pelbagai pangkat bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Dewan Serbaguna Batalion 4, Pasukan Gerakan Am di Semenyih dekat sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, setakat ini polis akan menjalankan siasatan terhadap enam individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan reman semalam bagi membantu siasatan berhubung kes video intim itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata keputusan mendedahkan indentiti pelaku membabitkan video itu terletak kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Polis menerima laporan itu menerusi CyberSecurity Malaysia (CSM) namun akan ada perbincangan dijalankan bersama pihak Jabatan Peguam Negara berhubung identiti pelaku yang dikaitkan.

“Pihak polis tidak bertanggungjawab untuk memastikan mahupun mendedahkan identiti pelaku itu dengan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM-VTREC 2019 di sini hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa keenam-enam individu yang ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes itu mempunyai lokasi (markas) tertentu dalam merencana proses pembuatan dan penyebaran video terbabit, Huzir berkata: “Itu satu maklumat baharu dan polis akan menyiasat dakwaan itu," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video intim membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Semalam, Mahkamah Majistret membenarkan Haziq Abdullah serta lima individu lain ditahan reman enam hari bermula semalam, bagi membantu siasatan kes video intim itu. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia