Reman warga emas cabul kanak-kanak dilanjutkan

Wan Rukman (tengah) pada sidang media di IPK hari ini.
A
A

SEREMBAN - Perintah tahanan reman seorang warga emas yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di dalam sebuah kereta dilanjutkan sehingga 22 Julai ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan, Wan Rukman Wan Hassan berkata, pemandu lori berusia 65 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi selepas kertas siasatan dirujuk ke Pengarah Pendakwaan negeri.

“Siasatan sudah pun dibuat, kertas siasatan juga sudah hampir lengkap dan kita akan merujuk kes ini kepada pihak pendakwa negeri, untuk tindakan lanjut.

“Kanak-kanak tersebut telah dihantar ke hospital untuk membuat pemeriksaan, dan masih dipantau oleh pihak polis bersama JKM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, pada 9 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki, di Lebuh Raya Utara-Selatan di Gopeng, Perak pada jam 9.20 malam, disyaki mencabul kanak-kanak terbabit selepas sebuah video tular melalui laman sosial Facebook.

Beliau berkata, berikutan penularan video berdurasi tiga minit 10 saat itu, polis menerima 17 laporan daripada orang awam di beberapa negeri yang tidak berpuas hati terhadap perbuatan suspek.

Polis berjaya mengesan bapa kepada dua anak itu yang dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis untuk menghantar barang dengan bertindak memintas kenderaan suspek dan menahannya.