Nelayan Pantai Timur himpun depan Parlimen

Kumpulan nelayan Pantai Timur mengadakan himpunan aman bagi membantah pencerobohan nelayan Vietnam di hadapan bangunan Parlimen di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 500 nelayan dari Pantai Timur berhimpun secara aman di hadapan bangunan Parlimen hari ini bagi mendesak kerajaan mengatasi beberapa permasalahan mereka.

Ketua wakil nelayan Pantai Timur, Bahiyuddin Awang @ Harun berkata, ini termasuklah penyalahgunaan lesen-lesen terpakai vesel zon C2.

"Kami mendesak kerajaan tarik balik lesen-lesen C2 bot terpakai yang pernah dikeluarkan. Timbul masalah apabila rakyat Malaysia sendiri yang sewa lesen itu kepada nelayan dari Vietnam.

"Yang jadi mangsanya ialah rakyat dan negara. Sebab itu kita sekeras-kerasnya membantah dan pergi ke Parlimen hari ini untuk memohon Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membatalkan lesen C2 yang diberi kepada nelayan luar," katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Kumpulan nelayan Pantai Timur mengadakan himpunan aman bagi membantah pencerobohan nelayan Vietnam di hadapan bangunan Parlimen di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Kumpulan nelayan Pantai Timur mengadakan himpunan aman bagi membantah pencerobohan nelayan Vietnam di hadapan bangunan Parlimen di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI

Selain itu, katanya, mereka juga mahu kerajaan menyelesaikan masalah penggunaan peralatan haram oleh nelayan Vietnam.

"Nelayan kita gunakan pukat tunda ganding, tetapi bila datang nelayan Vietnam mereka sewenang-wenangnya guna peralatan yang diharamkan negara kita.

"Kesannya sudah tentu kepada eko sistem apabila semua terumbu karang dan tempat pembiakan ikan rosak," katanya.

Dalam himpunan itu, wakil kumpulan nelayan turut menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang diwakili Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerima memorandum daripada wakil nelayan Pantai Timur , Bahiyuddin Awang @ Harun. - FOTO ZAHID IZZANI

Menurut Abdul Hadi, kerajaan perlu memandang serius ini yang bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan tetapi juga mengancam alam sekitar.

"Kerajaan perlu bertindak tegas dan bekerjasama dengan negara jiran bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Beberapa orang wakil nelayan kemudiannya turut menyerahkan memorandum serta mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia