Ketua MIC Paya Besar ditemui maut tepi jalan

Mayat mangsa ditemui orang awam terbaring tepi jalan. (Gambar kecil, mendiang Ramesh)
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Ketua MIC Bahagian Paya Besar, Ramesh Ganesan, 50, ditemui mati di tepi jalan berhampiran Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dekat Gebeng di sini, kira-kira jam 10.50 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan forensik mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Polis percaya, mangsa maut akibat dilanggar kenderaan lain di luar kenderaan. Jenis kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti. Siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

"Ini berdasarkan kecederaan fizikal mangsa yang cedera di bahagian kepala. Setakat petang ini, polis tidak menerima sebarang laporan bersabit kemalangan di lokasi kejadian dan ia menjurus kepada langgar lari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, sebentar tadi.

Mohamad Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 10.50 malam dekat Sungai Ular itu, mayat Ramesh dijumpai orang awam pada jarak 20 meter daripada kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya.

Mohamad Noor turut tidak menolak kemungkinan mangsa dilanggar di luar kenderaannya sebelum rebah dan maut di tempat kejadian.

Tambah beliau, kenderaan milik mangsa juga tidak mempunyai kesan pelanggaran dan beg serta MyKad mangsa ditemui dalam kenderaan.

"Lokasi kejadian berdekatan semak, jauh dari perumahan, sangat gelap, tiada kamera litar tertutup jalan dan dipercayai ketika kejadian berlaku dalam keadaan hujan. Ini kerana ketika polis tiba, jalan masih basah," katanya.

Kenderaan mangsa ditemui kira kira 20 meter dari mayat. (Gambar kecil, Mohamad Noor)
Kenderaan mangsa ditemui kira kira 20 meter dari mayat. (Gambar kecil, Mohamad Noor)

Polis masih meneruskan siasatan bagi melihat sebarang kemungkinan dan pada masa kini, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

Sebagai rekod, Ramesh pernah menjawat Ketua Pemuda MIC Pahang selama 15 tahun sebelum memegang jawatan Ketua MIC Bahagian Paya Besar pada 2018 sehingga kini.

Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam yang ditemui media di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) berkata, mendiang merupakan pemimpin yang rajin mendekati masyarakat sepanjang berkhidmat selama lebih 20 tahun.

"Dia kuat bekerja, rajin dan memang aktif dalam parti. Setiap kali mesyuarat dia bagi komitmen penuh untuk pastikan semua perancangan berjalan lancar," katanya.

Tambahnya, kali terakhir bertemu mangsa ialah ketika mesyuarat konvensyen MIC Pahang di Temerloh Jun lalu.

"Ramesh turut memegang jawatan sebagai Pegawai Perhubungan untuk MIC sebelah timur dan memang lebih popular berbanding orang lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat pemimpin politik ditemui meragukan

Terdahulu, mayat lelaki dipercayai pemimpin parti politik di Kuantan ditemukan di Gebeng malam tadi.

Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian 10.45 malam itu mayat mangsa ditemui orang awam yang kemudian memaklumkan bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang ketika dihubungi mengesahkan menerima panggilan orang awam pada sebelum Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS) ke lokasi.

“Pada mulanya kami terima maklumat mengatakan ada kemalangan tetapi anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati mayat dalam keadaan meragukan.

“Kita kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia