Pesara tentera jadikan rumah sebagai muzium mini

Minat mendalam terhadap gambar lama dan tokoh menyebabkan Muhammad menggunakan rumah pusaka sebagai muzium mini.
Minat mendalam terhadap gambar lama dan tokoh menyebabkan Muhammad menggunakan rumah pusaka sebagai muzium mini.
A
A
A

KOTA BHARU - Minat yang mendalam terhadap koleksi lama menyebabkan seorang pesara tentera menjadikan rumahnya sebagai muzium mini dikenali sebagai Anjung Pesona Wajah.

Kapten (B) Muhamad Awang, 70, berkata, setiap ruang di rumahnya di Kampung Pendek, Salor tidak dibiar kosong sebaliknya dipenuhi dengan bingkai gambar susur galur keluarga, penduduk kampung, bintang filem legenda negara, ulama Nusantara dan tokoh politik.

Muhamad yang juga bekas pelajar Maktab Sultan Ismail (SIC) berkata, dia turut mengumpul gambar rakan dan bekas guru sekolah itu untuk tatapan rakan alumni.

“Tiap kali majlis pertemuan semula dibuat, saya akan jemput bekas pelajar tingkatan lima, SIC Class of 1966 ke anjung ini.

“Mereka juga teruja kerana dapat menatap gambar rakan-rakan lain, sekali gus ia menjadi kenangan kami sekiranya salah seorang daripada kami meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bukan sahaja gambar lama katanya, dia turut mengumpul keratan akhbar sejak di tingkatan lima.

Muhammad (kiri) menunjukkan koleksi gambar kepada rakan-rakan alumni SIC Class of 1966 hari ini.
Muhammad (kiri) menunjukkan koleksi gambar kepada rakan-rakan alumni SIC Class of 1966 hari ini.

Katanya, pengumpulan tersebut bermula sejak di bangku sekolah, namun mengenangkan dinding rumah runtuh ketika dia berusia 14 tahun, ia menyebabkan kebanyakan keratan akhbar edisi awal tidak dapat dijilid.

Artikel Berkaitan:

Menyedari hobi mengumpul bahan antik ini menelan kos yang tinggi, Muhamad berkata, dia tidak kisah mengeluarkan wang bagi merealisasikan minatnya untuk tatapan rakan dan generasi akan datang.

Malah Muhamad berkata, anak bongsu daripada enam beradik turut menunjukkan minat yang sama dan memberi idea untuk menceriakan lagi anjung berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Alumni SIC Class of 1966, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad berkata, ini merupakan majlis pertemuan semula kali kelima dianjurkan sejak 2015 lalu.

Menurutnya, Anjung Pesona Wajah menjadi antara lokasi wajib bekas pelajar SIC 1966 sekiranya pulang ke Kelantan.

“Ini membolehkan seramai 62 bekas pelajar SIC berkumpul di satu lokasi untuk mengimbau semula kenangan bersama bekas guru kami,” katanya.