Warga emas reda jika rumah ditelan ombak

Rokiah tetap tinggal berdekatan pantai kerana tidak mampu membina rumah di tempat lain. Gambar kecil: Rokiah
Rokiah tetap tinggal berdekatan pantai kerana tidak mampu membina rumah di tempat lain. Gambar kecil: Rokiah
A
A
A

KUALA NERUS - Walaupun jarak rumah seorang ibu tunggal di Tanjung Gelam di sini hanya beberapa meter dari pantai namun dia tidak akan berpindah kerana faktor kewangan.

Rokiah Ali, 73, mengakui hidup dalam kebimbangan terutama ketika musim tengkujuh berikutan ombak besar, namun dia tidak mampu membina rumah di tempat lain.

Menurutnya, fenomena alam itu tidak mampu dihalang dan dia menerima dengan reda walaupun rumahnya itu mungkin lenyap dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Kalau saya nak bina rumah di tempat lain memang tak mampu, rumah ini pun dibina di atas tanah orang. Kami reda dengan apa yang akan berlaku termasuk jika rumah ini ditelan ombak,” katanya ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini jarak pantai dengan kampung itu agak selamat tetapi apabila ombak dan fenomena air pasang besar berlaku, pantai di situ akan berubah termasuk jarak rumahnya dengan pantai.

“Satu ketika dahulu, perkampungan ini juga amat meriah dengan keluarga nelayan tetapi kini sudah ramai pindah ke tempat lain, yang lebih selamat. Kami tak mampu dan ini sahaja pilihan yang kami ada,” katanya.

Rokiah menghuni rumah kayu itu bersama anaknya, Noraini Dolah, 48, yang turut menghidap lelah dan anak saudaranya, Rohayu Idris, 41, yang tinggal dengannya selepas ibu Rohayu meninggal 18 tahun lalu.

Selain Rokiah, dianggarkan lebih 10 keluarga dibelenggu masalah ancaman ombak kuat setiap kali musim tengkujuh tiba, malah beberapa rumah juga sudah runtuh dipukul ombak sebelum ini.

Artikel Berkaitan: