Durian RM10 penuh plastik diserbu

Shahmiazani (kiri) melayan pelanggannya yang memilih durian murah.
A
A

TUMPAT - Konsep beli durian guna kupon nombor diserbu peminat raja buah di Kampung Semat Jal di sini.

Menariknya, durian tersebut boleh diisi sampai penuh plastik besar dengan harganya hanya RM10 sahaja.

Umpama pesta durian apabila seawal jam 8 pagi lagi orang ramai mula memenuhi gerai Pemburu Buah Group di Kampung Semat Jal di sini untuk mendapatkan durian murah itu.

Pekerja Pemburu Buah Group melonggokkan ratusan biji durian untuk diisi sampai penuh dalam plastik yang dijual hanya RM10 sahaja.
Pekerja Pemburu Buah Group melonggokkan ratusan biji durian untuk diisi sampai penuh dalam plastik yang dijual hanya RM10 sahaja.

Peniaga, Shahmiazani Mohd Tanazi, 26, berkata, sistem kupon nombor diperkenalkan di gerai Pemburu Buah Group di sini sejak dua minggu lalu bagi mengelakkan orang ramai berebut.

"Jam 9 pagi kami edarkan kupon nombor dan sejam kemudian kita buka untuk orang ramai memilih durian.

"Sekali masuk hanya enam orang dibenarkan mengikut nombor giliran masing-masing untuk memilih durian.

"Jadi warga emas, ibu mengandung dan peminat durian boleh membeli dengan selesa," katanya ditemui di gerai durian hari ini.

Orang ramai berssak-asak untuk mendapatkan kupon nombor giliran yang diagihkan oleh Shahmiazani bagi membolehkan mereka membeli durian murah.
Orang ramai berssak-asak untuk mendapatkan kupon nombor giliran yang diagihkan oleh Shahmiazani bagi membolehkan mereka membeli durian murah.

Menurutnya, sebanyak 20 tan durian termasuk durian D2, D13, D88, durian udang merah, musang king dan bekalan itu diperolehi dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang dijual setiap hari di sini.

Bagaimanapun katanya, durian yang dilelong RM10 satu plastik, isi sampai penuh merupakan durian kampung habis terjual dalam masa satu jam sahaja.

"Durian yang gred A dijual timbang tetapi harganya berpatutan, dari RM3 hingga RM15 dan musang king dijual RM25 sekilogram," katanya.

Pengunjung, Nur Ezaty Mohd Fatihi, 32, berkata, dia datang awal hari ini kerana semalam dia pulang dengan tangan kosong apabila durian yang dilelong habis awal.

"Semalam datang jam 8.30 pagi tetapi kupon nombor dah habis, Alhamdulillah hari ini sempat dapat kupon tersebut dan tentunya anak gembira saya pulang bawa durian," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia