Yakin kepimpinan Tun M bela nasib rakyat

Iskandar Dzulkarnain (hadapan, dua kanan), menerima borang daripada Omar pada majlis berkenaan.
Iskandar Dzulkarnain (hadapan, dua kanan), menerima borang daripada Omar pada majlis berkenaan.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Dasar kepimpinan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah punca utama yang mendorong penduduk kampung termasuk ahli Umno Kampung Ketior Dalam (Batu 26) Kuala Kangsar, menyertai parti berkenaan.

Bekas ahli Umno, Mahamut Yeop Zabidi, 50 berkata, dia yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir khususnya dalam membela nasib rakyat.

Malah menurutnya, kepimpinan Dr Mahathir dilihat mampu merealisasikan agenda Melayu secara keseluruhannya.

"Saya sertai Bersatu kerana yakin dengan kepimpinan di bawah Tun Dr Mahathir agenda Melayu akan tercapai sepenuhnya.

"Kita tidak mahu pihak lain yang kawal selia pentadbiran di negara ini.

"Selain itu, dengan adanya cawangan Bersatu di Kuala Kangsar ini saya rasa nasib rakyat Manong akan terbela," katanya.

Mahamut berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan borang menyertai Bersatu oleh seramai 50 penduduk kampung termasuk ahli Umno di kampung berkenaan, petang tadi.

Difahamkan, kesemua borang berkenaan bakal diserahkan kepada Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Mohd Khalid.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk kampung Omar Shafiee, 46, berkata, dia menyertai Bersatu kerana kerelaannya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

"Saya yakin kepimpinan Tun Dr Mahathir boleh menerajui negara dengan lebih berjaya lagi, walaupun negara kita ada pelbagai kaum dan agama.

"Saya juga berharap kepimpinan Tun Dr Mahathir ini akan membawa kebaikan yang berpanjangan," katanya.