9,350 pelajar ditawar masuk ke SBP

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 9,350 pelajar telah berjaya dalam permohonan mereka untuk ditempatkan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara pada sesi persekolahan 2019.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, daripada jumlah itu, 52.28 peratus atau 4,888 calon merupakan pelajar-pelajar berpotensi golongan B40.

"Ia merupakan satu peningkatan sebanyak 15.34 peratus berbanding pengambilan 2018," katanya.

KPM berkata, mulai tahun hadapan kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan semula semangat SBP iaitu untuk membantu pelajar-pelajar berpotensi golongan B40 selari dengan dasar kerajaan baharu untuk membantu golongan kurang berada untuk memperoleh kemudahan pendidikan berkualiti.

Katanya, meskipun sasaran KPM adalah untuk menempatkan 60 peratus pelajar SBP daripada kalangan golongan B40, jumlah sebanyak 52.28 peratus itu merupakan satu pencapaian kerana secara perbandingan peningkatan pada kali ini adalah hampir 60 peratus berbanding jumlah pengambilan 2018.

Secara tidak langsung pertambahan pengambilan pelajar-pelajar B40 itu mencapai hasrat kementerian dan kerajaan pada amnya.

"KPM yakin untuk pengambilan kali ini akan memberikan lebih banyak peluang kepada anak-anak dari keluarga B40, sama ada dari kawasan luar bandar, miskin kota dan anak-anak anggota beruniform,untuk memperoleh kemudahan pendidikan lebih baik.

KPM akan terus meningkatkan pendekatan proaktif bagi menambah bilangan pelajar di SBP daripada kalangan golongan B40 pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tawaran kemasukan ke SBP juga mengambil kira keputusan Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) dan merit Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Psikometrik.

Dalam pada itu, katanya mereka yang gagal dalam permohonanan boleh membuat rayuan secara dalam talian dilaman portal rasmi KPM di www.moe.gov.my bermula 21 Disember 2018 lalu iaitu daripada tarikh keputusan permohonan dikeluarkan.

Tempoh rayuan akan dibuka sehingga 15 Januari 2019.

Katanya pada kali ini, KPM telah menerima 77,487 permohonan untuk memasuki SBP. - Bernama