Yeop bangkit tewaskan Selangor

Pemain Perak Leandro Dos Santos (tengah) mengambil sepakan penalti ketika bertemu pasukan Selangor pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini. Keputusan semasa Perak mendahului dengan 3-2. - FOTO BERNAMA
Pemain Perak Leandro Dos Santos (tengah) mengambil sepakan penalti ketika bertemu pasukan Selangor pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini. Keputusan semasa Perak mendahului dengan 3-2. - FOTO BERNAMA
A
A
A

PERAK membuktikan gelaran Raja Kebangkitan (King Of Comeback) yang dilabel kepada pasukan berkenaan tepat apabila menewaskan Selangor 3-2 pada aksi Unifi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Biarpun dua kali ketinggalan kepada pelawat, namun kesebelasan Kejor Yeop Skor itu berjaya bangkit meledak gol penyamaan dan seterusnya gol kemenangan bagi meraih tiga mata berharga.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Perak bermula garang sebaik wisel permulaan menerusi serangan bertali arus ke gawang Selangor dalam usaha membuka jaringan.

Namun deretan peluang yang diperolehi jentera serangan skuad The Bos Gaurus itu gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang pertahanan The Red Giants.

Sebaliknya jentera serangan pelawat pula yang berjaya merobek gawang tuan rumah menerusi jaringan pemain import Taylor Regan pada minit ke-28.

Tersentak dengan gol berkenaan, kesebelasan Perak dilihat mula bangkit mengatur serangan ke gawang Selangor bagi menyamakan kedudukan.

Hasilnya pada minit ke-41, pemain import Perak, Careca berjaya memanfaatkan peluang di depan gawang Selangor untuk menjaringkan gol penyamaan.

Bagaimanapun kegembiraan Perak tidak kekal lama apabila kesilapan pertahanan Perak dimanfaatkan sebaiknya oleh penyerang import Selangor Endrick dos Santos untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-45.

Artikel Berkaitan:

Pada masa kecederaan babak pertama, Perak dianugerahkan sepakan penalti apabila Norhakim Hassan dikasari dalam kotak penalti pada minit ke-48.

Pemain import Perak, Leandro Dos Santos kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti berkenaan biarpun sepakan pertamanya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Khairul Azhan Khalid untuk menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menuju ke bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

Namun, Perak perlu menunggu hingga minit ke-61 Perak bagi menjaringkan gol ketiga menerusi jaringan pemain import Careca, setelah menyempurnakan lorongan cantik daripada J.Partiban.

Kedua-dua pasukan kemudiannya dilihat semakin heabt mengasak ke gawang lawan masing-masing, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga ke wisel penamat.